Monday, December 14, 2009

Aku dan Hikayat Lauk Sayur

Si Nasi itu mengangkat muka sayunya sambil mengerdipkan mata kuyunya sambil dalam hatinya menyesali perbuatan lalunya dengan mengulang kata-kata "kalaulah" bersambung-sambungan tidak putus-putus.Semalam, sehari suntuk dia memikirkan jalan dan cara untuk memulihkan keadaan dan setidak-tidaknya melepaskan diri.
Namun malam tadi perkara itu berterus-terusan menghantui dirinya terbawa-bawa dalam mimpinya.
Dan dia bermimpi dia menjadi lauk sayur.

Dengan sisa ego yang masih berbaki dalam lubuk hati kanjinya, Si Nasi itu cuba mengumpul kembali keyakinannya dan berkata,

"Semalam Liverpool lauk dengan Arsenal, tapi takkanlah aku akan jadi lauk. Sekali aku lahir dari golongan Nasi Yang Mulia, sekali itu juga aku akan mati sebagai Nasi Yang Mulia"

"Memang kesalahan dan kesilapan aku itu amat berat tidak boleh diterima akal. Tapi mustahil aku akan jadi lauk!"

Si Nasi menarik nafas sambil menyambung bebelan memotivasikan dirinya,

"Semalam Liverpool sayur dengan Arsenal, tapi takkanlah aku akan jadi sayur. Sekali aku lahir dari golongan Padi yang Terutama, mustahil aku akan mati sebagai sawi yang hina terkutuk."

"Walau sehina mana kejahatan yang aku buat,walau seteruk mana kesan keburukan yang aku hasilkan, nasi tidak akan sekali-kali menjadi lauk"

Si Nasi itu menghembuskan nafasnya perlahan-lahan tanda kelegaan yang amat setelah kata-kata semangatnya itu berjaya menjustifikasikan segala kekurangan akibat kelemahan dirinya.

Memang, pantang bagi Si Nasi atau sesiapa sahaja di dunia ini untuk dianggap sebagai lauk
Juga pantang untuk disamakan dengan sayur.
Apatah lagi lauk sayur!



Namun hukum alam tidak pernah berdusta.
Memang nasi tidak akan menjadi lauk
Memang nasi tidak akan menjadi sesekali menjadi sayur.
Dalam keegoan dan kealpaan Si Nasi tidak sedar diri itu, tidak pernah menyangka bahawa dirinya telah menjadi bubur!

Thursday, December 3, 2009

Aku dan Cubaan Aneh

Sedang cuba bersedih hari ini agar kegembiraan hari esok melebihi kegembiraan semalam!










_________________________________________________________________________
Paparan masuk tambahan ini dibuat pada 8/12/2009 jam 4.45 petang bagi menjawab pertanyaan tuan Kelisa Samudera.
___________________________________________________________________________

Gagal bersedih setelah mendengar lagu sedih dalam bahasa yang tidak difahami!


Mencuba semula dalam bahasa kita, bahasa jiwa bangsa!








Selamat mencuba!
























Sunday, November 29, 2009

Aku dan Orang Kata 1:Watak

Orang kata, hidup ini bagai pentas opera
Kita adalah pelakon-pelakonnya
Tuhan adalah penulis skripnya
juga pengarahnya

Aku kata, memang kita semua ini adalah pelakon-pelakon
cuma yang membezakan kita adalah peranan watak,
watak baik atau watak jahat,

Orang tanya, bilakah pelakon itu akan mendapat watak baik sedangkan selama ini dia selalu melakonkan watak jahat

Aku jawab, bila pelakon itu ada "azam" untuk berlakon watak baik
bila pelakon itu "usaha" lagi dan lagi memohon ujibakat di pentas opera lain
Dan percayalah, sekali pelakon itu mendapat watak baik dan "beramal" dengannya,
dia akan selalu ditawarkan watak yang baik!

Thursday, November 26, 2009

Aku dan Lagumu itu





Tiada kata secantik bahasa
Untuk ku puji adinda
Tiada gambar secantik lukisan
Nak ku tunjuk perasaan

Oh... dinda puspa gemala
Mengharum jiwa
Hmm...

Oh... dinda puspa gemala
Mustika kanda...

Walau musim berubah
Suasana bertukar
Tapi ikatan mesra
Sikit pun takkan longgar

Tiada kata secantik bahasa
Untuk ku puji adinda
Kanda ucapkan
selamat hari raya Haji
kepada dinda

Wednesday, November 25, 2009

Aku dan Hikayat Pungguk itu 2: Sang Bulan itu

Dulu, pungguk itu amat memuja Sang Bulan itu,
seperti pepungguk lain sepenuh hati tanpa belah bagi
Pernah pungguk itu dari tawar senja hingga ke cair subuh merenung wajah Sang Bulan itu
wajah yang berterusan tersenyum tanpa henti,
membungakan hatinya, menghangatkan perasaannya
menjadikan dirinya seekor pungguk yang perasan.

Namun, hatinya sedikit tersentuh.
Akal burungnya sedikit terfikir

bagaimanakah tercapainya cintanya pada Sang Bulan itu?
terbangnya hanya mampu setinggi awan
itupun dalam mengah tercungap-cungap

Dan apakah ertinya pertempuran di Gong Maksom itu,
pepungguk mati sesia merebut Sang Bulan yang tidak mungkin dapat
yang menang jadi cacat yang kalah jadi mayat (pungguk jadi bangkai sebenarnya)

Dengan kesedaran itu, Pungguk itu membuka mata warasnya
Tidak waras baginya mencintai sang Bulan
walaupun dia adalah Sang Pungguk yang dilahirkan untuk itu..

Namun adakah waras baginya bagi mencintai Seorang Bukan Bulan?


____________________________________________________________________
NOTA CATATAN: tiada kena mengena dengan tulisan di atas

-rupanya untuk kahwin dengan Siti Nurhaliza , mesti bertaraf Matahari K
-bagaimana kalau mahu kahwin dengan Siti Nur bukan Haliza huhuhuhu

(Aku kuat merapu kebelakangan ini)

Selamat Hari Raya Korban!

Monday, November 9, 2009

Aku dan Hikayat Pungguk itu: Pungguk Itu

Pungguk itu sudah setia di dahan itu,
Menanti dengan kerdip mata penuh kerinduan syahdu,
Melupakan perut yang berkeroncong belum terisi,
Padahal sore hanya akan tiba sekurang-kurangnya setengah jam lagi,

Pungguk itu kekal setia di dahan itu,
sambil memerhati anak-anak itik pulang petang,
sambil megimbau kenangan lalu,
dengan harapan agar dapat mengubat rindu menjadi-jadi,
pada yang sebentar lagi akan menampakkan diri,

Tatkala Sang Rembulan sudah tersenyum manja,
menjadi kegilaan sekelian umat pepungguk yang perasan,
Pungguk itu masih seperti tadi,
dalam hatinya terisi penuh pengharapan,
sambil di paruhnya terucap isi hati,

"Akulah Si Pungguk itu,
Pungguk yang amat aneh itu,
Tidak pernah tergila-gila menantikan kehadiran Sang Rembulan,
juga tidak pernah menangisi kerinduan kepemergiannya
Ada apa pada Sang Rembulan itu..."

Luahan Pungguk itu terhenti di situ,
dan menelan air liur yang tersekat di kerongkong,
dan matanya menjadi besar secara tiba-tiba,
memerhatikan sebuah kereta yang dengan perlahan melalui bawah dahan itu dan berhenti tidak jauh dari situ.

Hati Pungguk itu berdebar kencang tatkala pemandu kereta itu keluar dari keretanya.
Kerinduannya selama ini terasa seperti terubat dalam sesaat itu sambil hatinya bergetus

"Alangkah indahnya kalau aku adalah seorang manusia!"

Friday, October 30, 2009

Aku dan Hikayat Pertandingan Lipat dan Koyak

Semalam itu,
Aku menyertai pertandingan lipat dan koyak
Pertandingan yang mula mula satu pihak melipat kertas,
Kemudian satu pihak yang lain diberi peluang untuk koyakkannya
Dan pihak yang mula-mula diberi peluang untuk melipatnya semula

Semalam itu,
Adalah hari kedua pertandingan itu,
Hari di mana akulah Si Tukang Lipat yang melipat kertas,
Sedangkan pada hari sebelum itu aku adalah Sang Tukang Koyak
Pertandingan yang diadili oleh Sang Pengadil

Semalam itu,
Adalah hari yang ketiga tidurku tidak lena,
makanku tidak enak,
yang ligat cuma berkepul-kepul asap naga
Menggerakkan akal melalikan rasa
supaya kekal berdiri di dunia nyata

Semalam itu,
Adalah pertandingan aku yang sebenar-benar aku
Tidak lagi dipandu oleh sang Raja
Yang selama ini menyediakan aku
Dalam memilih kertas dan teknik lipatan
Apatah lagi teknik koyakan

Semalam itu,
Aku lipat susun elok-elok kemas-kemas kertas itu,
sambil dalam doaku berserah pada Tuhan
sebelum membenarkan Sang Pelawan mencuba nasib
mengoyakkannya sedaya yang mampu.
sambil dalam hatiku percaya pada kebenaran,

Dan semalam itu,
dengan pasrah aku menyusun balik kertas ku
tertanya-tanya akan kesan koyakan
Namun dengan tenang Sang Pengadil berkata
"Usah susun lipat balik,kertas kamu tidak koyak pun"

Aku tersenyum pada Sang Pelawan sambil dalam hati aku berkata

"Nantikan aku di Pertandingan Tikam Lidah minggu depan"

Monday, October 19, 2009

Aku dan Hikayat Lelaki itu

Lelaki ini hanya ada satu beg kecil. Hanya muat satu barang
Dulu dia ke hulu ke hilir memuatkannya dengan cintanya
untuk berhadapan dengan dunia
dunia yang miskin cinta
lantas di herdik tiada wawasan dan halatuju
Dan akhirnya dia rasa dia gagal

Kemudian dia tinggalkan cintanya di rumah
Digantikannya dengan nafsunya
Dengan nafsunya dia berhadapan dengan dunia
Dunia yang juga penuh dengan nafsu

Namun dia juga gagal
Kerana akhirnya dia sedar
nafsunya tidak sebesar nafsu mereka

Dan dia pulang ke rumah
dengan muka yang tidak bermuram langsung
Bahkan dengan muka berseri-seri
Untuk membawa kembali cintanya
Kerana dia tahu cintanya adalah cinta yang besar
Semoga dia berjaya!

Monday, October 12, 2009

Aku dan Rasa itu

Senyuman yang aku kira terukir padu, mengembang dan mengecutkan otot-otot pipi aku tadinya sekarang sudah tiada.

Jiwaku yang tadinya amat terhibur dengan gelagat mereka itu tiba-tiba mengeluarkan perasaan yang amat sebu. Amat meruntun rasa.

Ini sudah ke berapa kali aku mengulangdengar pun aku sudah lupa.

Semoga aku tidak lupa solat asar.

_____________________________________________________________________________

Ini adalah paparan masuk tambahan. Ditulis pada Selasa 13/10/2009 jam 12.40 tengahari untuk menjelaskan punca perasaan sedikit tersentuh semalamnya seperti yang terpapar di paparan masuk di atas

KRONOLOGI RASA

1) Kali pertama aku melihatdengar, aku tergelak sambil tergolek..sambil menepuk-nepuk kepala dengan mengulang kata "Bodohnya, macam ni pun ada ke"

2) Kali kedua hingga ke ke empat kalinya aku masih rasa seperti rasa di atas cuma sudah tidak menepuk kepala akibat kepala sudah sedikit terasa sakit

3) Kali kelima, aku sudah berkeadaan seperti di keadaan paparan masuk asal ini. Aku sudah membisu. Menyingkap setiap maksud tersirat katanya. Mendalami setiap intonasinya yang syahdu dan lesu. Membayangkan aku di keadaannya...

Jiwaku jadi sebu. Sebu sesebu-sebunya.













Tuesday, September 29, 2009

Aku dan Sesalan yang ditangisi

Aku renung monitor itu dalam-dalam jauh-jauh dengan pandangan layu sepasang mata yang sukar dikerdipkerlipkan seperti menyesali sesuatu.

(Dalam hidup ini, sesalan atas sesuatu yang kita lakukan sebenarnya sama sahaja dengan sesalan atas sesuatu yang tidak kita lakukan.) Kata hikmah Ar Rais no 1

"Eh, bulan September ni baru satu entry aku tulis"

Monologku dalam sepi sambil mengelap hidungku yang agak berminyak dengan agak tidak bersungguh-sungguh.

Lantas aku dengan tenang mengimbau perjalanan hidupku sebulan ini dalam mencari-cari jawapan bagi persoalan yang mungkin bagi sesetengan manusia adalah remeh.

(Dalam hidup ini, kita manusia hendaklah terkadang mengambil berat akan perkara remeh. Kerana yang sedemikian akan menyempurnakan dan menambah warnaperisa hidup kita) Kata hikmah Ar Rais no 2

"Oooo rupanya bermulanya September ini dalam bulan puasa."

Rupanya aku kepenatan di bulan puasa. Kepenatan akibat lapar dan dahaga di siang hari dan kepenatan akibat kekenyangan di malam hari. Jadinya tiada masa aku tidak berpenat-penatan. Dengan penat datangnya kemalasan dan dengan kemalasan datangnya ketiduran.

_____________________________________________________________________________________


Aku renung monitor itu dalam-dalam jauh-jauh dengan pandangan layu sepasang mata yang sukar dikerdipkerlipkan sebagai tanda menyesali sesuatu.

(Dalam hidup ini, sesalan adalah suatu tanda kita tidak akan mengulanginya lagi dan telah mengambil pengajaran daripadanya) Kata hikmah Ar Rais no 3

"Eh, bulan Ramadhan lepas, berapa hari aku pergi terawikh..banyak pergi ke banyak tak pergi"

"Tadarus aku berapa juzuk..ke berapa helai je"

Monologku dalam sepi sambil menggigit hujung kukuku yang suam-suam yang seingat aku baru semalam ku potong rapi.

Lantas aku dengan tenang mengimbau perjalanan hidupku sebulan ini dalam mencari-cari jawapan bagi persoalan yang mungkin bagi sesetengah manusia adalah sunat sahaja.

(Dalam hidup ini, kita manusia hendaklah terkadang mengambil berat akan perkara sunat. Kerana yang sedemikian akan menyempurnakan lagi ibadah wajib kita dan menambah keimanan kita) Kata hikmah Ar Rais no 4

"Oooo rupanya bermulanya Ramadhan ini dalam masa aku amat sibuk."

Rupanya aku amat sibuk bulan Ramadhan itu. Bersibuk-sibukkan akibat merancang cuti raya yang lama.

"Hahaha.."

Aku ketawa sekuat hati sampai terkeluar air mata

Ketawa bukan kerana gembira, juga bukan kerana lelucuan.

Aku ketawa kerana kebodohan aku..Kebodohan mengikut hawa nafsu dan kealpaan dalam cubaan duniawi sehingga aku terlupa merebut kemanisan Ramadhan itu, sehingga aku ini tergolong manusia yang tidak bersyukur.

Aku tarik nafasku panjang-panjang kuat-kuat dan ku lepaskannya lebar-lebar perlahan-lahan.

Ya Allah, aku sungguh menyesal kerana tidak menjemput Ramadhan-Mu dengan penuh kehangatan dan kemeriahan hati..
aku sesungguhnya berjanji pada masa akan datang tidak akan menyebabkan diriku ini menyesali lagi kepemergian Ramadhan-Mu seperti tahun ini
Maka aku mohon kepada-Mu, temukanlah aku dengan Ramadhan-Mu lagi, semoga hidup aku lebih diredhai dan diberkati
Amin.

Monday, September 7, 2009

Aku dan Talaan Hebat Bermutu

Aku sudah terbayang makanan-makanan kegemaran aku yang akan aku perolehi petang nanti. Usah bertanya tentang pembuka hidangan dahulu kerana pembuka puasa sendiri sudah beratur-atur berderet-deret menunggu untuk ditala.

Bermula dari segala macam manisan bermula dari buahan kurma sehingga lah kuih bernama tok aji serban , lompat tikam dan mati bunuh minum racun. Setia menunggu untuk di jamah ditemani dengan bermacam air yang aneh-aneh namanya seperti tuak, sirap dan cendol.
(orang pantai timur memanggil air nira sebagai air tuak dan air tuak dikenali sebagai air kencing syaitan betina)

Bermula dari pembuka selera yang mungkin adalah ketupat sotong yang berharga semahal RM 3.50 seekor walaupun sekecil penala budak tapi tetap rasa berbaloi kerana kesedapannya.

Aku tidak merasakan bahawa ianya akan menjadi satu beban kewangan kepada ku lantaran kemiskinan kerana walaupun kepala jenahak asam pedas baba nyonya itu lebih RM 20.00 ataupun manisan di raja sebagai pencuci mulut itu RM12 semangkuk kecil kerana perolehan aku petang nanti adalah hasil ihsan rakan serumahku yang tidak putus-putus bersyukur sejak sekembalinya pagi tadi dari bermalam di rumah isterinya.

Sekembalinya tadi, dia dalam keadaan yang amat gembira. Tergambar dari raut wajahnya, terlahir dari ungkap katanya. Memang dia amat gembira!

Dan aku terus mengucapkan tahniah pada,

"Tahniah, memang selama ini aku tahu talaan kau hebat dan bermutu!"


Friday, August 28, 2009

Aku dan Sahabat Yang Dilupai

Petang itu, cuaca agak dingin. Natijah daripada hujan tidak henti dari pagi tadi. Aku yang sampai agak lambat juga membetulkan tali leher yang dipinjam daripada rakan serumah, Zainal aka Artakuz pagi tadi. Entah, pinjam ke curi ke aku pun tak tahu. Nak kata pinjam, aku tak minta izin dan dia pun tidak tahu. Nak kata curi, nanti aku akan pulangkan dan dia akan kata dia tidak kisah asalkan tali leher tu bukannya tali leher Suave pemberian istimewa isterinya.(kalau tak silap aku ).

Aku pula bukannya kekurangan tali leher sebenarnya. Cuma tali leher aku yang jumlah 14 semuanya itu aku sangkutkan elok-elok kemas-kemas di suatu sudut bilik di pejabatku dan bukannya di sudut bilik di rumahku. Makanya jika adanya tugasan pagi yang tidak memungkinkan aku masuk ke pejabat untuk mengambil tali leherku, tentu saja tali leher sahabatku itu yang menjadi korbannya.

Aku berjalan menaiki tangga agak perlahan sambil membetulkan lengan baju yang agak kebasahan. Aliran air hujan menuruni tangga itu mengakibatkan tangga itu agak licin.

"Alhamdulillah, sampai juga aku walaupun tadi hujan agak lebat," getus hatiku sambil sekilas memandang Honda EX5 2001 ku yang diparkirkan di tengah kelebatan hujan sebelum menyertai perkumpulan manusia yang berkelengkapan pakaian hitam putih yang datang bertatacara menyelesaikan masalah yang bukannya masalah mereka yang sebenarnya tiada bezanya dengan aku.

Dan aku yang agak tergesa-gesa terserempak dari kejauhan dengan satu wajah manis yang tidak asing. Rakan sekuliahku sejak daripada pusat matrikulasi lagi. Dari jauh lagi, wajahnya yang putih-putih yang pernah menjadi kegilaan rakan karibku itu sudah melemparkan senyuman.

Setelah dekat dan berselisih, dengan suara yang agak kuat dan tegas dia menyapa "Hai, Hadi"

Dalam tergesa-gesa aku membalas sapaannya.

Dan tiba-tiba hati aku tersentak.

Langkahku terhenti. Agak lama aku berhenti di situ. Dan memusingkan badanku menoleh ke arah dia tadi.



"Rupanya aku ada kawan bernama Syukri Mansor!"




Sunday, August 23, 2009

Aku dan Hikayat Sang Guru

"Nanti kalau hamba sudah tiada nanti, tuan hamba janganlah bersedih hati dan bermuram durja" kata Si Merah kepada Si Hitam sambil menangis air mata bercucuran umpama kerandanya sudah dibawa.(perumpamaan klasik cina: apabila keranda sudah dibawa, barulah bercucuran air mata)

Dan Si Merah meneruskan amanatnya,

"Mungkin hamba sudah tiada di sisi tuan hamba nanti, tetapi hamba harap pengajaran hamba kepada tuan hamba selama 11 purnama yang lalu akan tuan hamba ingat baik-baik yang mengamalkannya tanpa rasa jemu"

Si Hitam menggangguk-angguk kepala dalam kesayuan seraya membalas,

"Baiklah Guru, hamba berjanji hamba tidak akan bersedih hati. Lagipun kepemergian Guru sepurnama ini bukanlah suatu yang lama. Lagipun bukannya Guru pergi tidak kembali. Hamba bersumpah hamba akan menuruti ajaran Guru dan mengamalkannya tanpa rasa jemu. Hamba tidak akan sesekali mengecewakan Guru,"

Setelah mengambil nafas panjang, Si Hitam menyambung kata,

"Guru boleh menilai prestasi hamba sekembalinya Guru pada bulan Syawal nanti"

Si Merah tersenyum bangga dengan sumpah janji anak muridnya itu

Dalam hatinya bergetus

"Barulah aku boleh berlapang dada selama sebulan ini walaupun aku akan dibelenggu dan direjam kerana aku yakin pasti Si Hitam, hawa nafsu itu sudah boleh berdikari Hahahahaha"

Catatan penulis: Kekadang kita banyak menyalahkan syaitan dalam kejahatan yang kita lakukan padahal kekadang nafsu kita yang sedia ada yang gagal kita kekang.
Selamat Melatih Nafsu di Madrasah Ramadhan!

Wednesday, August 19, 2009

Aku dan kesayanganku

Aku renung kesayanganku ini dalam-dalam, jauh-jauh..
Mataku langsung tidak berkelip sebagai satu tanda kesungguhan yang tiada sukatbanding..
Sebagai menunjukkan rasa yang tidak tergambar dengan kata
ungkapan yang tidak terpadan dengan perbandingan
dan buktinya semalam...


Dan semalam aku telah menghabiskan sejumlah wang yang besar kepadanya,
besarlah jika dibanding dengan pendapatanku lebih-lebih lagi Ramadhan dan Syawal semakin hampir..
yang memungkinkan aku untuk mengikat perut mengekang rasa..
demi kasih sayangku padanya
Dan kepadanya ku belikan...


Dan kubelikan kepadanya satu set kelengkapan logam yang baru,
Sebagai tanda terima kasihku padanya,
Yang setia dan sungguh-sungguh tidak jemu-jemu
Melayan kerenahku yang terkadang kasar dan sukar difahami
Semoga dia akan berterusan sabar begitu,
sebagaimana aku sabar dengannya..


Macamana aku nak sabar,
semalam dah kali kedua dalam dalam tahun ini aku kene overhaul motorsikal kesayangan aku ni..
semalam melayang RM 450..
aku baru bercadang nak servis kete nak balik raye..
terpaksa aku korbankan balik kampung awal ramadhan aku besok..
Mak jangan marah ye..salahkan motor kesayangan anak mak ni...



Monday, August 10, 2009

Aku dan minggu itu 2: Nadi yang Berbicara

Aku matikan enjin kenderaanku betul-betul di hadapan kedai itu. Nasib baik tak ramai orang menunggu. kalau tidak nanti, lama lah aku kena menunggu.

"Uncle ada ke?"
Agak kuat pertanyaan ku kepada penjaga kaunter itu yang memakai baju pagoda yang kelihatan agak ketat di badannya. Mungkin kerana aku agak sedikit mengah. Mungkin sedikit berdebar. Menantikan apa yang akan Uncle katakan pada ku.

"Ada..Lu penah datang kan..Mana kad lama?"

"Kad lama sudah hilang..Nah i/c..masih 7 ringgit lagi kan.."

"Ya, masih 7 ringgit"

Setelah menunggu dalam tempoh sekadar sebatang rokok, aku pun di panggil masuk.

Uncle masih macam dulu.. Cuma gelang emas makin banyak. Mungkin perniagaannya makin untung. Dan pertuturannya dalam bahasa Melayu juga masih agak tidak difahami, sama macam kunjungan kali pertama dan kedua aku. Dan Uncle itu meneruskan sesinya. Hasilnya selepas itu, Uncle itu berkata,

"Lu sekarang manyak jiwa kacau..Lu konfius ha..Lu tak tau mana nak pilih"

"Uncle, macam mana nak pilih?"

Uncle itu diam sebentar. Kemudian dia menyambung,

"Oooo..ada sebatang pokok..manyak dahan..manyak ranting..manyak buah..
Lu buang itu buah..kasi ranting nampak..Lu buang itu ranting..kasi dahan itu nampak..
Lu buang itu dahan, kasi batang itu nampak..
Nanti aa, itu pilihan lu, jiwa lu tak kacau lagi.."

"Saya sudah faham uncle.."

"Lu mahu preskripsi ka..?"

"Tak ape lah uncle, terima kasih."

Dalam hati aku sekali lagi aku mengucapkan terima kasih pada Uncle itu.

Masa kunjungan pertama aku kira-kira 2 tahun dahulu, Uncle itu dengan tepat mengatakan bahawa aku ada beban yang terpikul, ada kata yang tidak terucap, ada rasa yang yang tidak terluah..

Benar, masa itu aku sedang memendam sebuah perasaan, tidak tahu hendak diucap bermula dari mana, tidak pasti perasaan itu akan berbalas bagaimana..adakah pengakhirannya seperti yang sudah-sudah..akulah manusia yang membawa jiwa yang amat terbeban..

Masa itu aku tanyakan uncle itu nada agak tinggi dengan perasaan yang agak terkejut

"Macam mana uncle boleh tahu?"

Uncle itu tidak menjawab malah terus memberitahuku,

"Arini aa, sejak bangun tidur, lu sudah hisap rokok dalam 6 batang.."

Hati aku bergetus..

Mungkin betul...

"Pagi tadi aa, lu minum ais..ais tak baik minum.."

"Macam mana Uncle tahu?"
Agak keras soalan aku..Mataku tepat ke mata Uncle itu..Dengan serius dan tidak sabar..

"Nadi lu aa, sudah bagitau semua.."

Ooo..nadiku sudah memberitahu semuanya..

Nadiku berbicara..

p/s sejak hari itu, aku percaya dengan diagnosis pakar perubatan purba cina sepertimana aku percaya dengan diagnosis pakar perubatan moden dan pakar perubatan rawatan Islam..

Aku dan minggu itu 1: Permulaan

Minggu itu akan aku kenang seumur hidupku. Mungkin bagi sesetengah manusia, minggu yang sedemikian akan di ingati sebagai minggu hitam dalam hidup mereka. Tapi bagi aku, minggu itulah merupakan permulaan baru hidup aku dan dan penamat kesudahan bagi sebuah jiwa yang sulit.

Aku terfikir kekadang Allah menguji manusia dengan mengenakan kekurangan, namun aku juga tidak lupa kekadang Allah juga menguji manusia itu dengan kelebihan yang diberikan-Nya.

Minggu itu, jiwaku amat berserabut.

Allah menguji aku dengan pilihan. Pilihan yang perlu di buat. Sedang jiwa ku yang sulit tidak sudah-sudah pada pada waktu itu langsung tidak menyebelahi aku.

Makanya aku tidak dapat memberi sebarang perhatian kepada suatu perkara pun. Perkara yang aku amat berhati-hati pun pada akhirnya aku akan terlepas pandang juga.

Inilah cerita aku minggu itu..

Monday, August 3, 2009

Aku dan Hikayat Sang Penghikayat

Arakian tersebutlah kisah, berlaku nyata di pinggir sebuah negara pada tahun H1N1 yang ada segolongan penduduknya berkumpul beramai ramai untuk memansuhkan penggunaan pisau yang kata mereka amat merbahaya kepada mereka dan mereka bersurai selepas mata mereka pedih dimasuki gas dan air-air gatal sedang adakah mereka tidak menyedari bahawa nama tuhan mereka sedang direbut orang berniat jahat yang memijak kepala mereka...

Sedang Penghikayat itu duduk diam di tebingan sungai itu menanti kedatangan teman karibnya Pemfiksyen, sambil menghembuskan asap dari batang yang merupakan antara sumber penyumbang terbesar Israel dalam usaha-usaha menindas Palestin dan Palestin tidak juga bersatu-padu walaupun ditindas sambil mundar-mandir dalam ritma,

Hisap....hembus....mundar
Hisap....hembus....mandir
Hisap...mundar
Hembus...mandir

Hisap...tak hembus-hembus
Mundar...tak mandir-mandir,

Teman karibnya, Pemfiksyen sudah tercongok di depan sambil bertanya,
"Wei, gua tengok lu gelisah semacam je apahal..nak kate lu tolak kucing senah jatuh pokok sampai mati, kucing senah tu memang dah mati atas pokok,"
"pastu dari jauh gua tengok lu kejap macam hepi, kejap macam sedih"

Penghikayat diam..Mengimbau kenangan silam..

Hembus...tak hisap-hisap
Mandir..tak mundar-mundar

dan berkata,
"Hari ini aku ditolak oleh seorang wanita,"

"Itu gua tahu memang pedih..Sebab tu gua tengok lu sedih"

"Kenapa dia tolak lu?"
"Sebab lu muka hodoh ke?"
"Ke sebab lu miskin?"
"Sebab lu serabai?"

Hisap..(rokok dah abis..nanti beli lagi kat kedai Babu)
Mundar...(kaki dah penat..baik kaki penat semayang sunat dari kaki penat mundar-mandir)

"Tak, dia tak tolak aku sebab aku muka hodoh "
"Bukan juga sebab aku miskin walaupun tahap pengemis"
"Juga bukan sebab aku serabai"

"Dah tu dia tolak lu sebab apa?"

Dia tolak aku sebab,
pertama aku merokok,
kedua aku makan bersepah,
hanya sebab-sebab itu dia tolak aku..
Sebab tu lah aku kejap-kejap macam gembira..

Hahaha, tu dia belum tengok lu hisap rokok bersepah lagi ,macam sekarang lagi ,
dan Gua tengok perasaan lu dah macam longkang sebab lu selalu lepak tepi longkang ni..











Saturday, August 1, 2009

Aku dan ibuku: Pertanyaan

Pada malam sebelum tibanya hari ulangtahun kelahiran ibuku yang ke-53 itu, ibuku menelefon aku.
Aku sempat bertanyakan pada nya tentang kemungkinan hadiah yang dia impikan, yang akan aku dengan sedaya upaya aku akan usahakan untuk membelinya.

Ibuku menjawab dengan suara yang tiba-tiba perlahan, mungkin sayu mungkin tidak,
"Ma taknak apa-apa. Hidup Ma sudah cukup. Tapi untuk "Raih" (nama panggilan aku), Ma nak seorang menantu"

Aku menelan air liur aku.Mengapa air liur ini menyekat kerongkong nafas aku
Ku sedut batang asap itu dalam-dalam umpama ianya nafas terakhir aku.
Ku hembuskan asap itu kuat-kuat seperti ku mahu runtuhkan tembok itu.

Suasana di sini menjadi hening.

Mujur ibuku memecahkan keheningan itu cepat-cepat, mungkin kerana menyedari ketidakselesaan aku dengan pertanyaannya itu dengan berkata,
"Raih belilah kereta baru..kereta lama tu dah buruk dah Ma tengok."

Aku di sebelah sini telefon kembali tersenyum sendiri. Mustahil ibuku dapat melihat senyuman itu.

"Insya Allah Ma, ada jodoh, ada rezeki, nanti semua akan jadi"

Dalam hati aku menjawab. Mustahil ibuku dapat mendengarnya.

Kereta baru Raih tak mampu,
Gaji Raih sikit,
Menyesal tak belajar rajin-rajin dulu.

Menantu Ma pun Raih tak mampu,
Raih tak hensem,
Menyesal tak pakai pencuci muka masa remaja dulu.




Wednesday, July 29, 2009

Aku dan ibuku: satu penghargaan

Semalam ialah ulangtahun kelahiran ibuku yang ke-53..
Aku sebenarnya sudah lama bercadang untuk menghadiahinya satu kerongsang.
Namun aku buta kerongsang..
Tidak berupaya membezakan kerongsang berharga RM 25 dengan yang berharga RM 250

Makanya Ahad hari minggu yang lepas aku mengajak seorang teman aku rasa mampu menolong aku untuk memilih kerongsang yang istimewa buat ibuku.
Namun aku juga menghadapi kesulitan.
Dia ini banyak bertanya
Macam-macam ditanyanya. Jawapannya aku tidak tahu..
Aku bukan penjahit tudung ibuku untuk mengetahui warna-warna tudung ibuku
Aku juga bukan neng yang menggosok tudung ibuku
Aku juga sudah lama tidak balik ke rumah..
Mungkin ibuku dulu suka pakai tudung ungu tapi sekarang mungkin dia suka pakai tudung hijau tua..
Mungkin ibuku dah buang tebiat sekarang suka pakai tudung pink ke, merah menyala ke

Untuk lari daripada kesulitan itu, aku melontarkan cabaran kepada teman ku itu..
Cabarannya ialah jika dia mampu memilih kerongsang yang disukai oleh ibuku, maka dia akan disukai oleh ibuku.
Aku lihat peluh sudah keluar di dahinya!
Air muka nya bertukar serius!
Di hadapnya gerai kerongsang itu dengan penuh fokus..
Aku juga sudah di abaikannya..

Aku sempat dalam pengabaian itu pergi ke surau untuk berzohoran.
Selepas solat aku terfikir,
"Kenapa aku bersusah payah untuk menghadiahi kerongsang untuk ibuku sedangkan aku mampu menghadiahkan pemilih kerongsang itu kepada ibuku?"

Tuesday, July 21, 2009

Aku dan jiwaku yang sulit tidak sudah-sudah

Sewaktu aku menulis paparan masuk ini, aku sebenarnya sedang bersemuka secara maya siber berbual dengan taipan dengan seorang kawan baik 'dia' yang amat prihatin kepada 'dia' seorang kawan baikku.

Dia bertanyakan kepadaku tentang sesuatu yang aku tidak dapat menjawabnya, tentang aku dan 'dia', kawannya itu yang amat diambil berat olehnya, seorang dari kisah masa depan.

Aku dan jiwaku yang sulit tidak sudah-sudah ini aku rasa amat menyulitkan perbualan. Harap dia tidak tersulit dengan caraku dan gayaku. Ku hulur kemaafan jika dia terlanjur terbeban dan tersulit

Aku memulakan jawapan bagi persoalan pembukaannya dengan soalan juga,

"Adakah cinta boleh berputik tanpa pernah bertemu?"

Dia tidak menjawab malah bertanya kembali..

"Kenapa awak tidak pernah jumpa 'die'",

Aku jawab bahawa aku tidak pernah mengajak 'dia' berjumpa. Dan aku juga yakin 'dia' tidak akan seberani itu untuk mengajakku berjumpa sahaja-sahaja mana-mana bila-bila tanpa sebab dan alasan yang kukuh.

Dan aku menerangkan bahawa aku sebenarnya memerlukan satu kepastian sebelum berbuat sesuatu.
Dan kepastian itu bukan daripada 'dia' sebenarnya, tetapi lebih kepada kepastian daripada jiwaku yang sulit tidak sudah-sudah ini.

Dia menyatakan bahawa golongan berjantina sepertinya tidak suka untuk menunggu juga tidak gemar bertarik tali segala.

Aku menyatakan bahawa aku memahami dan sedar akan apa yang dinyatakan dan berteima kasih kerana mengingatkan aku.

Dan aku juga berterus-terusan untuk memahamkan dia akan jiwaku yang sulit tidak sudah-sudah ini dengan berkata,

" aku bukan jenis seorang yang mungkir janji, makanya aku selalu berhati-hati membuat janji.."

aku teruskan lagi

"aku bukan jenis yang mudah jatuh cinta, tapi kalau dah jatuh cinta, aku akan cinta sepenuh hati"

"bukan excuse yang aku beri, aku memang begini"

"cuba tanya teman lelaki kamu yang mengenali aku, apakah bezanya aku dengan orang lain yang dia kenal..
(dalam hati aku, aku menjawab, bezanya aku mempunyai jiwa sulit yang tidak sudah-sudah)

ooo..so u takut ape?

"aku tidak takut apa-apa..cuma menunggu masa yang akan tiba itu tiba"

"dan aku juga tidak berjanji masa yang akan tiba itu pastinya akan tiba"

Takdir?

"Kita berusaha, Tuhan menentukan"

"Kekadang ada perkara bukan di bawah kawalan kita"

"Tangan bertepuk dua-dua belah tangan pun kekadang tidak berbunyi"

"Inikan pula belum bertepuk"

i just want 'her' to be happy
(Aku terharu melihatkan sifat sahabat baik 'dia' itu yang begitu baik dan prihatin serta mengambil berat tentang perasaan 'dia'. Sukar untuk mencari sahabat sebegini di akhir zaman ini.)
"Being a good friend will make a person be a good husband/wife, a good parent, a good child and a good whatsoever relatioship that exist in this world"

Dan aku dan jiwaku yang sulit tidak sudah-sudah ini juga membalas
"i also want 'her' to be happy"

Aku dan pilihan yang tidak terpilih

Sedang aku ialah seorang lelaki dewasa cukup umur dan berakal waras, maka aku walaupun adalah seorang yang kurang berilmu yang memungkinkan aku bersifat lemah pegangan, kurang pertimbangan dan cetek pengetahuan, namun aku masih lagi seorang yang merdeka yang memenuhi setidak-tidaknya keperluan dan kehendak pra-syarat minima undang-undang buatan manusia duniawi dan juga undang-undang Tuhan untuk membenarkan aku sekurang-kurangnya mempunyai hak untuk sekurang-kurangnya membuat satu pilihan.

Sedang aku juga adalah berpendirian dengan pegangan golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah, maka aku bukan lah berpendirian Jabariah yang menyatakan bahawa segalanya adalah telah ditentukan oleh Tuhan di Azali dan juga aku bukan berpendirian Qadariah yang menyatakan bahawa segalanya adalah ditentukan oleh tangan dan usaha sendiri. Aku secara sedar memahami bahawa dalam ketentuan Tuhan atas perkara yang berlaku pada kita, kita adalah diberi pilihan untuk menentukan baik buruk atas keputusan dan pilihan yang kita ambil.

Tetapi mengapa pada akhirnya, dengan segala kesedaran dan kefahaman ini, aku telah membuat pilihan untuk tidak memilih?

Monday, July 13, 2009

Aku, Dr Fathi Yakan dan MJ

Semalam, cukup sebulan kepemergian Dr Fathi Yakan ke rahmatullah. Aku sudah lupa sudah berapa kali aku sedekahkan Al-Fatihah untuknya dalam jangka masa sebulan itu..

Sepertimana peminat-peminat MJ yang yang bagai gila menonton berulangkali klip-klip video selepas kematiannya, begitu juga aku bagai gila mengkhatamkan berulangkali karya Allahyarham "Apa Ertinya Saya Menganut Islam" hingga lunyai bukunya itu..

Dan juga sepertimana peminat-peminat MJ yang menyatakan bahawa hidup mereka dari kecil hingga ke besar dicorakkan dengan muzik MJ, aku juga menyatakan bahawa permulaan asas tarbiyyah yang aku kenali dan aku fahami bertitik tolak daripada karya Allahyarham itu..

Aku juga tahu bahawa seramai-ramai manusia yang mengenali MJ dan mendengar lagunya , tidak ramai yang mengenali Allahyarham Dr Fathi Yakan dan membaca bukunya..

Namun, masih belum terlambat bagi kita untuk mengenali Allahyarham..karya beliau masih begitu menunggu kita membaca dan memahaminya..

Semoga kita semua memperoleh rahmat Allah selalu..Amin

p/s aku titipkan link bagi buku tersebut untuk pemahaman bersama
http://www.al-islam.com/articles/articles-m.asp

Thursday, July 9, 2009

Aku dan perlawanan bola?

Esok pagi, aku ada perlawanan bolasepak
(Sebenarnya aku ada bicara permohonan)

Aku terfikir bagaimana hendakku main sedang sebelum bermula aku sudah ketinggalan 2-0
(Sebenarnya aku terfikir bagaimana hendak ku berhujah sedang aku sudah ketinggalan 2 isu prosedur)

Ini semua gara-gara Presiden Kelab yang tidak mengambil berat tentang pasukan sendiri
(Sebenarnya ini semua gara-gara anak guam yang tidak ambil berat tentang kes saman sendiri)

Pihak lawan dihadiahkan 1-0 kerana kelewatan Presiden Kelab membayar yuran perlawanan
(Sebenarnya pihak lawan berkelebihan 1 isu prosedur kerana anakguam hanya datang berjumpa kami untuk mengenepikan Penghakiman Ingkar selepas sebulan seperti yang ditetapkan oleh undang2 yang relevan penghakiman itu direkodkan atau disampaikan dengan sempurna kepada anakguam kami)

Pihak lawan dihadiahkan 2-0 kerana kelewatan Presiden Kelab membayar denda kelewatan membayar yuran perlawanan
(Sebenarnya pihak lawan berkelebihan 1 lagi isu prosedur kerana anak guam hanya kembali kepada kami dengan afidavit yang bertandatangan selepas 14 hari dan ianya melebihi had masa dibenarkan seperti yang ditetapkan oleh undang-undang yang terpakai)

Adakah aku juga akan tidak bersemangat kerana Presiden Kelab sudah lama tidak menjelaskan gaji tertunggak?
(Sebenarnya adakah aku tidak bersemangat kerana anakguam tidak menjelaskan yuran guaman yang tertunggak)

Tidak..aku akan terus bersemangat untuk menang perlawanan ini kerana aku lah CRISTIANO RONALDO
(Sebenarnya Tidak..aku akan terus bersemangat untuk menang bicara ini kerana aku la HAHAHAHAH)

Wednesday, July 8, 2009

Aku dan profesyenku

Hari ini, seperti hari-hari sudah, perkara pertama yang aku lakukan setiba aku di pejabat pembayar gaji bulanan aku ini ialah membaca tulisan manusia-manusia yang tertera di layar piksel komputer peribadi ini walaupun pukul 9 pagi aku sampai ataupun pukul 11 pagi aku masih di rumah masih menjerang air menggunakan cerek eletrik hasil peninggalan Masri yang telah berpindah ke Melaka untuk menjadi pegawai suluh mahkamah syariah di sana yang dengar khabarnya akan menjadi raja sehari pada satu hari di bulan sepuluh untuk membancuh air milo yang sedap dicicah dengan biskut kering yang aku sudah lupa bila aku belinya dan tarikh luputnya juga aku tidak tahu kerana plastik pembungkusnya sudah aku buang semasa aku memasukkannya ke dalam dalam tin seingat aku 10 bulan yang lepas semasa keluarga aku datang ke rumah aku untuk menghadiri konvokesyen adik perempuan aku di sebuah universiti untuk mengelakkannya daripada dimasuki angin dan menyebabkannya kurang rangup.

Ada seorang kawan namanya yg_indah bercerita dalam blognya tentang kebosanannya dalam beramal dalam profesyen ini. Dan disokongnya cerita kebosanannya dengan pendapatan yang tidak lumayan tidak seperti yang dijangka oleh masyarakat. Juga disentuhnya sedikit jiwa kacaunya yang hari-hari hanya berhadapan dengan masalah orang sedang dirinya juga ada masalah.

Aku juga menghadapi yang sedemikian. Namun satu adegan dalam Boston Legal terus-terusan memberi aku harapan dan impian untuk terus kekal dalam arus ini.

Dua orang rakan kongsi duduk di kerusi malas di beranda firmanya sambil memerhatikan cahaya meriah malam di bandaraya itu. Sambil menghisap cerut buatan Cuba dan mendongak kepala menghembus asap yang keluar membulat-bulatan seorang daripadanya berkata

"weh,kau tak rasa pelik ke sekarang firma kita yang kita mulakan dengan hutang ini pada waktu kita bukan siapa-siapa dan tiada apa-apa mengendalikan satu kes yang besar, liputan media yang meluas, menjadi buah mulut orang satu Amerika laknatullah ini, dan kita tidak terlibat dengannya"

Seorang lagi yang perutnya agak buncit sambil meneguk air kencing syaitan berwarna merah itu ketawa terbahak-bahak dan berkata,

"mungkin masa kita telah berlalu"

selepas meneguk lagi dia menyambung bicara lagi,

"tapi mengapa kita harus rungsing..kita tetap akan menjadi semakin kaya"


Aku dan sistem pesanan ringkas

Kadang-kadang hasrat sebenar tidak sampai setepatnya

Yang boleh menimbulkan perselisihan yang tiada sepatutnya

Kata-kata nasihat berbunyi seperti kata-kata berbaur sindiran

Gurauan dinilai sebagai ejekan kata nista.

Minta bantuan kedengaran seperti arahan dari atasan..

Apatah dari kalangan golongan yang bezanya terzahir

Dari segi georgrafi ataupun latar belakang pendidikan.

Kesudahan yang terhasil semacam si ayam bertutur dengan si itik


Namun bagi orang yang bukan jenis yang menzahirkan kata perasaan dalam hati,

Inilah caralaku yang amat cocok,

Tidak bersangkutan dengan debar hati membawa ke lidah,

Tidak bersangkutan dengan derau darah membawa ke muka

Tidak juga bersangkutan dengan keringat dingin meleleh di ujung dahi.


Walaupun begitu, segalanya mesti diguna sebaiknya,

Kata-kata mesti tepat,padat dan difahami,

Juga tidak terdedah kepada sebarang takwilan,

Sebaiknya kata-kata mesti beserta dengan hati,

Perasaannya mesti timbul sepadan dengan intonasi,

Agar segala yang diluahkan tidak disalaherti sebagai gurauan,


Sedang sesetengah penerima menganggap penerimaan itu tiada kesungguhan,

Kerana pengucapannya tidak menembusi kalbu untuk melekat padanya

Maka kebarangkalian itu untuk berjaya juga amat bergantung kepada tuah.

Bersedia sahaja hadapi suatu kegagalan..

Friday, July 3, 2009

Aku dan kata yang terlanjur

Tanpa diundang, bergerombolan ucapmaki-ucapmaki menerobosi legar warasku..bergendangpesta dalam benakku..aku meminta maaf menjarum telinga kalian,ku harapkan jika berdarah,akan lekas sembuh..sedang harus ku halau keluar anasir-anasir ini,agar isyakku nanti akan lebih khusyuk..

Aku marah pada babi..
pagi tadi aku kena air babi dari lori angkut babi
aku tak tau aku kene samak apa lagi
paling aku menyirap aku kene samak cincin aku..
cincin aku yang dah 2 kali pergi mekah ..

Selama ni aku tak marah pada babi sebab rumah aku jauh dengan pusat ternak babi
aku heran sejak bila babi pindah-pindah sekarang ni..
siap round KL tengok KLCC
naik lori 12 tayar ramai-ramai amik gambar berpicnic ria
nasib baik tak turun mandi kat kolam kat situ

Wah baru2 ini mahu tukar H1N1 kepada selsema babi balik
supaya masyarakat takut katanya
kalau nak suruh masyarakat takut baik ko buat hantu babi..cekik2 isap darah orang bkn cekik darah org pnjm ptptipu

Yg dulu ternak berasing jauh-jauh
Yg sekarang ternak berpusat..
Kalau boleh siap nak buat precint lagi tu
Supaya senang posmen nak hantar surat

Aku heran kenapa babi ni makin byk..
Babi ni beranak ke bertelur
Adakah dulu seorang makan seekor sehari
sekarang dah makan 2 ekor sehari
aku suspect ada org buat MLM jual babi

Pastu konon sibuk2 tukar babi ke khinzir
konon2 khinzir lebih lembut
aku tak tau diorang maksudkan daging dia lembut ke sebutan dia lembut
kononnya bebudak payah nak sebut
Hahaha aku gelak besar..
Bebudak kalau tak pandai sebut babi pun,bila dah besar pergi menyundal termengandung juga

Takde beza babi ngan khinzir pun.
Contoh:bapak kau babi
Mesti kau marah kan
bapak kau khinzir
mesti kau marah jugakkan..
inikan pulak kalau korang pijak kepala babi bapak korang..

Aku dah tak marah..aku bukan marah kat kau babi..aku juga bukan marah kat korang..aku marah kat pihak berwajib yang yang keluarkan lesen ternak babi..
Astaghfirullah hal a'zim

Tuesday, June 30, 2009

Aku dan silam yang tidak ditangisi

Ahad yang baru ini, guruh berdentum-dentuman kilat sabung menyabung seakan Sang Langit melepaskan dendam terpendam berkurun lamanya. Dan aku ditakdirkan bertemu tanpa sengaja dalam satu pertemuan tanpa dirancang dengan seseorang dari kisah silam..

Bagaimana beratnya suara aku untuk menanyakan khabarnya..begitu juga kelu lidahnya untuk menjawab..Berselang beberapa lontaran perbualan, aku lihat matanya berkaca..lalu ditundukkan mukanya..dan air mata itu terus meleleh jatuh ke lantai tanpa membasahi pipi..

"Mengapa awak menangis?"
Dia diam dalam sedu sedan..

"Mengapa awak yang menangis sedangkan awak yang berkahwin..
Saya yang awak berkahwin pun tidak menangis"(.)Noktah

Monday, June 29, 2009

Aku dan ketaksuban

Semalam, sedang aku berkira-kira untuk tidur awal, aku telah ditakdirkan utuk tertarik pada satu rancangan dokumentari di saluran Discovery Channel yang bertajuk The Life and Death of Peoples Temple mengenai pembunuhan dan/atau pembunuhan diri beramai-beramai oleh pengikut People's Temple yang diketuai oleh Jim Jones pada tahun 1978. http://en.wikipedia.org/wiki/Jim_Jones

Aku terfikir, apakah yang menyebabkan golongan manusia ini termasuk aku dan kalian boleh terjebak dalam satu situasi ketaksuban dan kefanatikan pada seseorang.Tidak kiralah sama ada orang itu pemimpin politik atau seorang pemimpin agama ataupun artis lakonan mahupun nyanyian..

Dan semalam aku telah dapat melihat secara jelas kesan nyata akibat daripada ketaksuban itu..

Betapa mereka yang kerasukan ketaksuban ini sudah buta matahatinya dan tuli telingajiwanya, tidak dapat melihat dan mendengar apatah lagi untuk menilai dan membezakan antara kebenaran dan kepalsuan;
betapa ketaksuban yang bermaharajalela di dalam akal telah membunuh segala kewarasan yang ada;
betapa ketaksuban yang mencerobohi hati telah menghambat perirasa yang tersisa

Mengapa sedemikian?

KEJAHILANkah?

http://en.wikipedia.org/wiki/Jonestown:_The_Life_and_Death_of_Peoples_Temple



..

Aku dan kemalasanku

Aku dan kemalasan ini terus berkait-kaitan bertaut-tautan sedang di layar mindaku diterobosi tanpa henti bait-bait ucapkata hikmah untuk aku berbicara secara israr ini.

Mahu saja aku berpuas hati dengan bicara israr ini untuk sekadar berputar-putar di mindaku seperti yang sudah-sudah..

Namun, aku juga akan rasa sesal kerana pada akhirnya, bicara israr itu, yang bernas-bernas itu akan aku lupakan, sedang belum sempat aku bermuhasabah dengannya.

Untuk tidak terus-terusan menjadi hamba kemalasan itu, aku dengan susah payah, mencapai komputer riba yang tidak pernah sesekali aku riba itu. Dan kuaturkan jari jemariku yang seakan kakubeku ini, ku kuatkan semangat teguhkan keinginan untuk menitipkan sesuatu sebagai tanda sumpahan kemalasan ini telah menyisih pergi tidak bertapak.

Allahumma inni a’uzubika minal a’jzi wal kasal
Ya Allah aku berlindung dengan Mu dari sifat lemah dan malas.

Benar bagai dikata, bila malas sudah menjajah hati, hati akan turut meracuni seluruh anggota untuk bersekongkol dengannya sama seperti yang sedang aku alami waktu ini.

“Wahai anggota tubuh badanku, aku maafkan kalian untuk sekali ini Nasihatku agar kalian tidak akan sesekali bersekongkol bermalas-malasan dalam perkara berkaitan ketaatan kepada Yang Terutama Yang Maha Esa, kelak nanti kalian akan dibakar berhimpit-himpitan tiada henti-henti di dalam kepanasan api yang amat dashyat, seperti yang telah dijanjikan.”

(Akhirnya aku telah siapkan entry ini)

Thursday, June 25, 2009

Aku dan Pembukaanku

Assalamualaikum..
Aku membuka laman aku ini dengan Ummul Quran...
Al-Fatihah..(yg ni kalian kena baca sendiri)..
Amin..
Walaupun ni post pertama aku,aku dah terasa kemalasannya..
Kemalasan inilah yang menyebabkan aku menangguhkan posting pertama ini walaupun blog ini sudah "didaftaraikan"lama dahulu..
Kemalasan ini jugalah yang akan nanti aku kira akan menghabuksawangkan blog aku ini hahaha..
Makin terngiang-ngiang di telinga motto sekolah aku dulu "Fastakim Kama Umirta"yang menggesa ummat beristiqamah dalam mengerjakan sesuatu yang baik..makin menebal lapisan-lapisan kemalasan menyelimuti diri hingga mendarahdagingtulang...
Mampukan aku di selamatkan oleh perubatan canggih moden kini dan/atau rawatan rukiyyah Islam..
Sama-sama kita nantikan..