Showing posts with label aku dan diriku. Show all posts
Showing posts with label aku dan diriku. Show all posts

Friday, August 28, 2009

Aku dan Sahabat Yang Dilupai

Petang itu, cuaca agak dingin. Natijah daripada hujan tidak henti dari pagi tadi. Aku yang sampai agak lambat juga membetulkan tali leher yang dipinjam daripada rakan serumah, Zainal aka Artakuz pagi tadi. Entah, pinjam ke curi ke aku pun tak tahu. Nak kata pinjam, aku tak minta izin dan dia pun tidak tahu. Nak kata curi, nanti aku akan pulangkan dan dia akan kata dia tidak kisah asalkan tali leher tu bukannya tali leher Suave pemberian istimewa isterinya.(kalau tak silap aku ).

Aku pula bukannya kekurangan tali leher sebenarnya. Cuma tali leher aku yang jumlah 14 semuanya itu aku sangkutkan elok-elok kemas-kemas di suatu sudut bilik di pejabatku dan bukannya di sudut bilik di rumahku. Makanya jika adanya tugasan pagi yang tidak memungkinkan aku masuk ke pejabat untuk mengambil tali leherku, tentu saja tali leher sahabatku itu yang menjadi korbannya.

Aku berjalan menaiki tangga agak perlahan sambil membetulkan lengan baju yang agak kebasahan. Aliran air hujan menuruni tangga itu mengakibatkan tangga itu agak licin.

"Alhamdulillah, sampai juga aku walaupun tadi hujan agak lebat," getus hatiku sambil sekilas memandang Honda EX5 2001 ku yang diparkirkan di tengah kelebatan hujan sebelum menyertai perkumpulan manusia yang berkelengkapan pakaian hitam putih yang datang bertatacara menyelesaikan masalah yang bukannya masalah mereka yang sebenarnya tiada bezanya dengan aku.

Dan aku yang agak tergesa-gesa terserempak dari kejauhan dengan satu wajah manis yang tidak asing. Rakan sekuliahku sejak daripada pusat matrikulasi lagi. Dari jauh lagi, wajahnya yang putih-putih yang pernah menjadi kegilaan rakan karibku itu sudah melemparkan senyuman.

Setelah dekat dan berselisih, dengan suara yang agak kuat dan tegas dia menyapa "Hai, Hadi"

Dalam tergesa-gesa aku membalas sapaannya.

Dan tiba-tiba hati aku tersentak.

Langkahku terhenti. Agak lama aku berhenti di situ. Dan memusingkan badanku menoleh ke arah dia tadi.



"Rupanya aku ada kawan bernama Syukri Mansor!"




Wednesday, August 19, 2009

Aku dan kesayanganku

Aku renung kesayanganku ini dalam-dalam, jauh-jauh..
Mataku langsung tidak berkelip sebagai satu tanda kesungguhan yang tiada sukatbanding..
Sebagai menunjukkan rasa yang tidak tergambar dengan kata
ungkapan yang tidak terpadan dengan perbandingan
dan buktinya semalam...


Dan semalam aku telah menghabiskan sejumlah wang yang besar kepadanya,
besarlah jika dibanding dengan pendapatanku lebih-lebih lagi Ramadhan dan Syawal semakin hampir..
yang memungkinkan aku untuk mengikat perut mengekang rasa..
demi kasih sayangku padanya
Dan kepadanya ku belikan...


Dan kubelikan kepadanya satu set kelengkapan logam yang baru,
Sebagai tanda terima kasihku padanya,
Yang setia dan sungguh-sungguh tidak jemu-jemu
Melayan kerenahku yang terkadang kasar dan sukar difahami
Semoga dia akan berterusan sabar begitu,
sebagaimana aku sabar dengannya..


Macamana aku nak sabar,
semalam dah kali kedua dalam dalam tahun ini aku kene overhaul motorsikal kesayangan aku ni..
semalam melayang RM 450..
aku baru bercadang nak servis kete nak balik raye..
terpaksa aku korbankan balik kampung awal ramadhan aku besok..
Mak jangan marah ye..salahkan motor kesayangan anak mak ni...



Saturday, August 1, 2009

Aku dan ibuku: Pertanyaan

Pada malam sebelum tibanya hari ulangtahun kelahiran ibuku yang ke-53 itu, ibuku menelefon aku.
Aku sempat bertanyakan pada nya tentang kemungkinan hadiah yang dia impikan, yang akan aku dengan sedaya upaya aku akan usahakan untuk membelinya.

Ibuku menjawab dengan suara yang tiba-tiba perlahan, mungkin sayu mungkin tidak,
"Ma taknak apa-apa. Hidup Ma sudah cukup. Tapi untuk "Raih" (nama panggilan aku), Ma nak seorang menantu"

Aku menelan air liur aku.Mengapa air liur ini menyekat kerongkong nafas aku
Ku sedut batang asap itu dalam-dalam umpama ianya nafas terakhir aku.
Ku hembuskan asap itu kuat-kuat seperti ku mahu runtuhkan tembok itu.

Suasana di sini menjadi hening.

Mujur ibuku memecahkan keheningan itu cepat-cepat, mungkin kerana menyedari ketidakselesaan aku dengan pertanyaannya itu dengan berkata,
"Raih belilah kereta baru..kereta lama tu dah buruk dah Ma tengok."

Aku di sebelah sini telefon kembali tersenyum sendiri. Mustahil ibuku dapat melihat senyuman itu.

"Insya Allah Ma, ada jodoh, ada rezeki, nanti semua akan jadi"

Dalam hati aku menjawab. Mustahil ibuku dapat mendengarnya.

Kereta baru Raih tak mampu,
Gaji Raih sikit,
Menyesal tak belajar rajin-rajin dulu.

Menantu Ma pun Raih tak mampu,
Raih tak hensem,
Menyesal tak pakai pencuci muka masa remaja dulu.




Wednesday, July 29, 2009

Aku dan ibuku: satu penghargaan

Semalam ialah ulangtahun kelahiran ibuku yang ke-53..
Aku sebenarnya sudah lama bercadang untuk menghadiahinya satu kerongsang.
Namun aku buta kerongsang..
Tidak berupaya membezakan kerongsang berharga RM 25 dengan yang berharga RM 250

Makanya Ahad hari minggu yang lepas aku mengajak seorang teman aku rasa mampu menolong aku untuk memilih kerongsang yang istimewa buat ibuku.
Namun aku juga menghadapi kesulitan.
Dia ini banyak bertanya
Macam-macam ditanyanya. Jawapannya aku tidak tahu..
Aku bukan penjahit tudung ibuku untuk mengetahui warna-warna tudung ibuku
Aku juga bukan neng yang menggosok tudung ibuku
Aku juga sudah lama tidak balik ke rumah..
Mungkin ibuku dulu suka pakai tudung ungu tapi sekarang mungkin dia suka pakai tudung hijau tua..
Mungkin ibuku dah buang tebiat sekarang suka pakai tudung pink ke, merah menyala ke

Untuk lari daripada kesulitan itu, aku melontarkan cabaran kepada teman ku itu..
Cabarannya ialah jika dia mampu memilih kerongsang yang disukai oleh ibuku, maka dia akan disukai oleh ibuku.
Aku lihat peluh sudah keluar di dahinya!
Air muka nya bertukar serius!
Di hadapnya gerai kerongsang itu dengan penuh fokus..
Aku juga sudah di abaikannya..

Aku sempat dalam pengabaian itu pergi ke surau untuk berzohoran.
Selepas solat aku terfikir,
"Kenapa aku bersusah payah untuk menghadiahi kerongsang untuk ibuku sedangkan aku mampu menghadiahkan pemilih kerongsang itu kepada ibuku?"

Wednesday, July 8, 2009

Aku dan profesyenku

Hari ini, seperti hari-hari sudah, perkara pertama yang aku lakukan setiba aku di pejabat pembayar gaji bulanan aku ini ialah membaca tulisan manusia-manusia yang tertera di layar piksel komputer peribadi ini walaupun pukul 9 pagi aku sampai ataupun pukul 11 pagi aku masih di rumah masih menjerang air menggunakan cerek eletrik hasil peninggalan Masri yang telah berpindah ke Melaka untuk menjadi pegawai suluh mahkamah syariah di sana yang dengar khabarnya akan menjadi raja sehari pada satu hari di bulan sepuluh untuk membancuh air milo yang sedap dicicah dengan biskut kering yang aku sudah lupa bila aku belinya dan tarikh luputnya juga aku tidak tahu kerana plastik pembungkusnya sudah aku buang semasa aku memasukkannya ke dalam dalam tin seingat aku 10 bulan yang lepas semasa keluarga aku datang ke rumah aku untuk menghadiri konvokesyen adik perempuan aku di sebuah universiti untuk mengelakkannya daripada dimasuki angin dan menyebabkannya kurang rangup.

Ada seorang kawan namanya yg_indah bercerita dalam blognya tentang kebosanannya dalam beramal dalam profesyen ini. Dan disokongnya cerita kebosanannya dengan pendapatan yang tidak lumayan tidak seperti yang dijangka oleh masyarakat. Juga disentuhnya sedikit jiwa kacaunya yang hari-hari hanya berhadapan dengan masalah orang sedang dirinya juga ada masalah.

Aku juga menghadapi yang sedemikian. Namun satu adegan dalam Boston Legal terus-terusan memberi aku harapan dan impian untuk terus kekal dalam arus ini.

Dua orang rakan kongsi duduk di kerusi malas di beranda firmanya sambil memerhatikan cahaya meriah malam di bandaraya itu. Sambil menghisap cerut buatan Cuba dan mendongak kepala menghembus asap yang keluar membulat-bulatan seorang daripadanya berkata

"weh,kau tak rasa pelik ke sekarang firma kita yang kita mulakan dengan hutang ini pada waktu kita bukan siapa-siapa dan tiada apa-apa mengendalikan satu kes yang besar, liputan media yang meluas, menjadi buah mulut orang satu Amerika laknatullah ini, dan kita tidak terlibat dengannya"

Seorang lagi yang perutnya agak buncit sambil meneguk air kencing syaitan berwarna merah itu ketawa terbahak-bahak dan berkata,

"mungkin masa kita telah berlalu"

selepas meneguk lagi dia menyambung bicara lagi,

"tapi mengapa kita harus rungsing..kita tetap akan menjadi semakin kaya"