Friday, August 28, 2009

Aku dan Sahabat Yang Dilupai

Petang itu, cuaca agak dingin. Natijah daripada hujan tidak henti dari pagi tadi. Aku yang sampai agak lambat juga membetulkan tali leher yang dipinjam daripada rakan serumah, Zainal aka Artakuz pagi tadi. Entah, pinjam ke curi ke aku pun tak tahu. Nak kata pinjam, aku tak minta izin dan dia pun tidak tahu. Nak kata curi, nanti aku akan pulangkan dan dia akan kata dia tidak kisah asalkan tali leher tu bukannya tali leher Suave pemberian istimewa isterinya.(kalau tak silap aku ).

Aku pula bukannya kekurangan tali leher sebenarnya. Cuma tali leher aku yang jumlah 14 semuanya itu aku sangkutkan elok-elok kemas-kemas di suatu sudut bilik di pejabatku dan bukannya di sudut bilik di rumahku. Makanya jika adanya tugasan pagi yang tidak memungkinkan aku masuk ke pejabat untuk mengambil tali leherku, tentu saja tali leher sahabatku itu yang menjadi korbannya.

Aku berjalan menaiki tangga agak perlahan sambil membetulkan lengan baju yang agak kebasahan. Aliran air hujan menuruni tangga itu mengakibatkan tangga itu agak licin.

"Alhamdulillah, sampai juga aku walaupun tadi hujan agak lebat," getus hatiku sambil sekilas memandang Honda EX5 2001 ku yang diparkirkan di tengah kelebatan hujan sebelum menyertai perkumpulan manusia yang berkelengkapan pakaian hitam putih yang datang bertatacara menyelesaikan masalah yang bukannya masalah mereka yang sebenarnya tiada bezanya dengan aku.

Dan aku yang agak tergesa-gesa terserempak dari kejauhan dengan satu wajah manis yang tidak asing. Rakan sekuliahku sejak daripada pusat matrikulasi lagi. Dari jauh lagi, wajahnya yang putih-putih yang pernah menjadi kegilaan rakan karibku itu sudah melemparkan senyuman.

Setelah dekat dan berselisih, dengan suara yang agak kuat dan tegas dia menyapa "Hai, Hadi"

Dalam tergesa-gesa aku membalas sapaannya.

Dan tiba-tiba hati aku tersentak.

Langkahku terhenti. Agak lama aku berhenti di situ. Dan memusingkan badanku menoleh ke arah dia tadi.



"Rupanya aku ada kawan bernama Syukri Mansor!"




Sunday, August 23, 2009

Aku dan Hikayat Sang Guru

"Nanti kalau hamba sudah tiada nanti, tuan hamba janganlah bersedih hati dan bermuram durja" kata Si Merah kepada Si Hitam sambil menangis air mata bercucuran umpama kerandanya sudah dibawa.(perumpamaan klasik cina: apabila keranda sudah dibawa, barulah bercucuran air mata)

Dan Si Merah meneruskan amanatnya,

"Mungkin hamba sudah tiada di sisi tuan hamba nanti, tetapi hamba harap pengajaran hamba kepada tuan hamba selama 11 purnama yang lalu akan tuan hamba ingat baik-baik yang mengamalkannya tanpa rasa jemu"

Si Hitam menggangguk-angguk kepala dalam kesayuan seraya membalas,

"Baiklah Guru, hamba berjanji hamba tidak akan bersedih hati. Lagipun kepemergian Guru sepurnama ini bukanlah suatu yang lama. Lagipun bukannya Guru pergi tidak kembali. Hamba bersumpah hamba akan menuruti ajaran Guru dan mengamalkannya tanpa rasa jemu. Hamba tidak akan sesekali mengecewakan Guru,"

Setelah mengambil nafas panjang, Si Hitam menyambung kata,

"Guru boleh menilai prestasi hamba sekembalinya Guru pada bulan Syawal nanti"

Si Merah tersenyum bangga dengan sumpah janji anak muridnya itu

Dalam hatinya bergetus

"Barulah aku boleh berlapang dada selama sebulan ini walaupun aku akan dibelenggu dan direjam kerana aku yakin pasti Si Hitam, hawa nafsu itu sudah boleh berdikari Hahahahaha"

Catatan penulis: Kekadang kita banyak menyalahkan syaitan dalam kejahatan yang kita lakukan padahal kekadang nafsu kita yang sedia ada yang gagal kita kekang.
Selamat Melatih Nafsu di Madrasah Ramadhan!

Wednesday, August 19, 2009

Aku dan kesayanganku

Aku renung kesayanganku ini dalam-dalam, jauh-jauh..
Mataku langsung tidak berkelip sebagai satu tanda kesungguhan yang tiada sukatbanding..
Sebagai menunjukkan rasa yang tidak tergambar dengan kata
ungkapan yang tidak terpadan dengan perbandingan
dan buktinya semalam...


Dan semalam aku telah menghabiskan sejumlah wang yang besar kepadanya,
besarlah jika dibanding dengan pendapatanku lebih-lebih lagi Ramadhan dan Syawal semakin hampir..
yang memungkinkan aku untuk mengikat perut mengekang rasa..
demi kasih sayangku padanya
Dan kepadanya ku belikan...


Dan kubelikan kepadanya satu set kelengkapan logam yang baru,
Sebagai tanda terima kasihku padanya,
Yang setia dan sungguh-sungguh tidak jemu-jemu
Melayan kerenahku yang terkadang kasar dan sukar difahami
Semoga dia akan berterusan sabar begitu,
sebagaimana aku sabar dengannya..


Macamana aku nak sabar,
semalam dah kali kedua dalam dalam tahun ini aku kene overhaul motorsikal kesayangan aku ni..
semalam melayang RM 450..
aku baru bercadang nak servis kete nak balik raye..
terpaksa aku korbankan balik kampung awal ramadhan aku besok..
Mak jangan marah ye..salahkan motor kesayangan anak mak ni...



Monday, August 10, 2009

Aku dan minggu itu 2: Nadi yang Berbicara

Aku matikan enjin kenderaanku betul-betul di hadapan kedai itu. Nasib baik tak ramai orang menunggu. kalau tidak nanti, lama lah aku kena menunggu.

"Uncle ada ke?"
Agak kuat pertanyaan ku kepada penjaga kaunter itu yang memakai baju pagoda yang kelihatan agak ketat di badannya. Mungkin kerana aku agak sedikit mengah. Mungkin sedikit berdebar. Menantikan apa yang akan Uncle katakan pada ku.

"Ada..Lu penah datang kan..Mana kad lama?"

"Kad lama sudah hilang..Nah i/c..masih 7 ringgit lagi kan.."

"Ya, masih 7 ringgit"

Setelah menunggu dalam tempoh sekadar sebatang rokok, aku pun di panggil masuk.

Uncle masih macam dulu.. Cuma gelang emas makin banyak. Mungkin perniagaannya makin untung. Dan pertuturannya dalam bahasa Melayu juga masih agak tidak difahami, sama macam kunjungan kali pertama dan kedua aku. Dan Uncle itu meneruskan sesinya. Hasilnya selepas itu, Uncle itu berkata,

"Lu sekarang manyak jiwa kacau..Lu konfius ha..Lu tak tau mana nak pilih"

"Uncle, macam mana nak pilih?"

Uncle itu diam sebentar. Kemudian dia menyambung,

"Oooo..ada sebatang pokok..manyak dahan..manyak ranting..manyak buah..
Lu buang itu buah..kasi ranting nampak..Lu buang itu ranting..kasi dahan itu nampak..
Lu buang itu dahan, kasi batang itu nampak..
Nanti aa, itu pilihan lu, jiwa lu tak kacau lagi.."

"Saya sudah faham uncle.."

"Lu mahu preskripsi ka..?"

"Tak ape lah uncle, terima kasih."

Dalam hati aku sekali lagi aku mengucapkan terima kasih pada Uncle itu.

Masa kunjungan pertama aku kira-kira 2 tahun dahulu, Uncle itu dengan tepat mengatakan bahawa aku ada beban yang terpikul, ada kata yang tidak terucap, ada rasa yang yang tidak terluah..

Benar, masa itu aku sedang memendam sebuah perasaan, tidak tahu hendak diucap bermula dari mana, tidak pasti perasaan itu akan berbalas bagaimana..adakah pengakhirannya seperti yang sudah-sudah..akulah manusia yang membawa jiwa yang amat terbeban..

Masa itu aku tanyakan uncle itu nada agak tinggi dengan perasaan yang agak terkejut

"Macam mana uncle boleh tahu?"

Uncle itu tidak menjawab malah terus memberitahuku,

"Arini aa, sejak bangun tidur, lu sudah hisap rokok dalam 6 batang.."

Hati aku bergetus..

Mungkin betul...

"Pagi tadi aa, lu minum ais..ais tak baik minum.."

"Macam mana Uncle tahu?"
Agak keras soalan aku..Mataku tepat ke mata Uncle itu..Dengan serius dan tidak sabar..

"Nadi lu aa, sudah bagitau semua.."

Ooo..nadiku sudah memberitahu semuanya..

Nadiku berbicara..

p/s sejak hari itu, aku percaya dengan diagnosis pakar perubatan purba cina sepertimana aku percaya dengan diagnosis pakar perubatan moden dan pakar perubatan rawatan Islam..

Aku dan minggu itu 1: Permulaan

Minggu itu akan aku kenang seumur hidupku. Mungkin bagi sesetengah manusia, minggu yang sedemikian akan di ingati sebagai minggu hitam dalam hidup mereka. Tapi bagi aku, minggu itulah merupakan permulaan baru hidup aku dan dan penamat kesudahan bagi sebuah jiwa yang sulit.

Aku terfikir kekadang Allah menguji manusia dengan mengenakan kekurangan, namun aku juga tidak lupa kekadang Allah juga menguji manusia itu dengan kelebihan yang diberikan-Nya.

Minggu itu, jiwaku amat berserabut.

Allah menguji aku dengan pilihan. Pilihan yang perlu di buat. Sedang jiwa ku yang sulit tidak sudah-sudah pada pada waktu itu langsung tidak menyebelahi aku.

Makanya aku tidak dapat memberi sebarang perhatian kepada suatu perkara pun. Perkara yang aku amat berhati-hati pun pada akhirnya aku akan terlepas pandang juga.

Inilah cerita aku minggu itu..

Monday, August 3, 2009

Aku dan Hikayat Sang Penghikayat

Arakian tersebutlah kisah, berlaku nyata di pinggir sebuah negara pada tahun H1N1 yang ada segolongan penduduknya berkumpul beramai ramai untuk memansuhkan penggunaan pisau yang kata mereka amat merbahaya kepada mereka dan mereka bersurai selepas mata mereka pedih dimasuki gas dan air-air gatal sedang adakah mereka tidak menyedari bahawa nama tuhan mereka sedang direbut orang berniat jahat yang memijak kepala mereka...

Sedang Penghikayat itu duduk diam di tebingan sungai itu menanti kedatangan teman karibnya Pemfiksyen, sambil menghembuskan asap dari batang yang merupakan antara sumber penyumbang terbesar Israel dalam usaha-usaha menindas Palestin dan Palestin tidak juga bersatu-padu walaupun ditindas sambil mundar-mandir dalam ritma,

Hisap....hembus....mundar
Hisap....hembus....mandir
Hisap...mundar
Hembus...mandir

Hisap...tak hembus-hembus
Mundar...tak mandir-mandir,

Teman karibnya, Pemfiksyen sudah tercongok di depan sambil bertanya,
"Wei, gua tengok lu gelisah semacam je apahal..nak kate lu tolak kucing senah jatuh pokok sampai mati, kucing senah tu memang dah mati atas pokok,"
"pastu dari jauh gua tengok lu kejap macam hepi, kejap macam sedih"

Penghikayat diam..Mengimbau kenangan silam..

Hembus...tak hisap-hisap
Mandir..tak mundar-mundar

dan berkata,
"Hari ini aku ditolak oleh seorang wanita,"

"Itu gua tahu memang pedih..Sebab tu gua tengok lu sedih"

"Kenapa dia tolak lu?"
"Sebab lu muka hodoh ke?"
"Ke sebab lu miskin?"
"Sebab lu serabai?"

Hisap..(rokok dah abis..nanti beli lagi kat kedai Babu)
Mundar...(kaki dah penat..baik kaki penat semayang sunat dari kaki penat mundar-mandir)

"Tak, dia tak tolak aku sebab aku muka hodoh "
"Bukan juga sebab aku miskin walaupun tahap pengemis"
"Juga bukan sebab aku serabai"

"Dah tu dia tolak lu sebab apa?"

Dia tolak aku sebab,
pertama aku merokok,
kedua aku makan bersepah,
hanya sebab-sebab itu dia tolak aku..
Sebab tu lah aku kejap-kejap macam gembira..

Hahaha, tu dia belum tengok lu hisap rokok bersepah lagi ,macam sekarang lagi ,
dan Gua tengok perasaan lu dah macam longkang sebab lu selalu lepak tepi longkang ni..











Saturday, August 1, 2009

Aku dan ibuku: Pertanyaan

Pada malam sebelum tibanya hari ulangtahun kelahiran ibuku yang ke-53 itu, ibuku menelefon aku.
Aku sempat bertanyakan pada nya tentang kemungkinan hadiah yang dia impikan, yang akan aku dengan sedaya upaya aku akan usahakan untuk membelinya.

Ibuku menjawab dengan suara yang tiba-tiba perlahan, mungkin sayu mungkin tidak,
"Ma taknak apa-apa. Hidup Ma sudah cukup. Tapi untuk "Raih" (nama panggilan aku), Ma nak seorang menantu"

Aku menelan air liur aku.Mengapa air liur ini menyekat kerongkong nafas aku
Ku sedut batang asap itu dalam-dalam umpama ianya nafas terakhir aku.
Ku hembuskan asap itu kuat-kuat seperti ku mahu runtuhkan tembok itu.

Suasana di sini menjadi hening.

Mujur ibuku memecahkan keheningan itu cepat-cepat, mungkin kerana menyedari ketidakselesaan aku dengan pertanyaannya itu dengan berkata,
"Raih belilah kereta baru..kereta lama tu dah buruk dah Ma tengok."

Aku di sebelah sini telefon kembali tersenyum sendiri. Mustahil ibuku dapat melihat senyuman itu.

"Insya Allah Ma, ada jodoh, ada rezeki, nanti semua akan jadi"

Dalam hati aku menjawab. Mustahil ibuku dapat mendengarnya.

Kereta baru Raih tak mampu,
Gaji Raih sikit,
Menyesal tak belajar rajin-rajin dulu.

Menantu Ma pun Raih tak mampu,
Raih tak hensem,
Menyesal tak pakai pencuci muka masa remaja dulu.