Tuesday, February 23, 2010

Aku dan Mimpi Mainan Tidur

Aku rasa sudah berpuluh-puluh manusia datang bertanyakan kepada ku untuk menafsir mimpi mereka sejak 2 tahun lalu.Aku pun agak hairan bagaimana ianya bermula..adakah muka aku ini muka penafsir mimpi..aku selalu gelak sendiri bila memikirkan perkara ini.

Aku pula bukannya seorang yang pernah belajar ilmu tafsir mimpi dan aku sebenarnya tidak tahu langsung cara mentafsir mimpi. Pendek kata aku sebenarnya tiada beza dengan mereka yang bermimpi itu.

Walaupun begitu, tidak dinafikan aku adalah seorang pendengar yang baik.Dan sememangnya mereka yang bermimpi memerlukan seorang pendengar yang baik untuk berkongsi mimpinya dan meredakan keluh resah hatinya. Meluahkan kegusaran hati akibat daripada mimpi itu sebenarnya telah menyelesaikan separuh masalah mereka.

Dan aku pun sebenarnya bukan mentafsirkan mimpi mereka pun. Aku dalam kebanyakan masa memberi pandangan aku tentang mimpi mereka berdasarkan masalah yang mereka hadapi dalam kehidupan mereka.

Dan mereka selalunya berpuas hati dengan pandangan aku tentang mimpi mereka dan nasihat aku tentang tindakan lanjut yang perlu mereka lakukan selepas ini.

Dalam kebanyakan nasihat aku, selalu aku nyatakan secara tidak langsung bahawa mimpi itu adalah mainan tidur.

Dan mimpi itu adalah mainan tidur semata-mata..
Sabtu lepas dalam tidurku aku bermimpi bahawa pengisar aku yang sudah rosak 3 bulan lepas sudah elok kembali..

Dan setelah aku bangun, aku mencubanya..memang benar pengisarku telah elok kembali!...

Dalam hati mengucapkan beribu-ribu syukur kegembiraan, diselangi getusan di jiwa yang berkata "Memang mimpi adalah mainan tidur..Tanpanya, tidur kita akan kebosanan tanpa warna-warni asam garam permainan"

Dan aku juga gembira kerana mimpi aku tidak berbelit-belit untuk ditafsirkan!










Tuesday, February 9, 2010

Aku dan Ketam Masak Lemak Cili Api

Tanpa makna tersirat, aku memang suka makan Ketam Masak Cili Api.

Mungkin ianya adalah senarai pertama lauk kegemaran aku.

Dan apabila berkesempatan masa dan kemampuan, aku memang tidak melepaskan peluang untuk merasa Ketam Masak Cili Api di mana-mana bila-bila dalam pencarianku untuk yang tersedap.

Dan dengan kesempatan masa itu, aku rela menjelajah ke serata tempat untuk mencuba khabar-khabar yang yang begitu mengujakan walaupun dalam kebanyakan masanya adalah khabar-khabar yang mengecewakan indah khabar dari rasa.

Dan dengan kesempatan kemampuan itu, aku rela memesan dengan menutup mata akibat daripada harganya yang agak mahal menipiskan poket itu walaupun dalam kebanyakan masanya aku dikira beruntung jika dapat makan nasi dengan kuahnya sahaja daripada hanya mampu mencium baunya sahaja.

Dan aku memang tidak pernah memasak sendiri Ketam Masak Lemak Cili Api ini walaupun aku agak biasa memasak sendiri Udang Masak Lemak Cili Api. Bukan sebab kesukaran untuk mendapatkan ketam mentah tapi Ketam Masak Lemak Cili Api ini dalam anggapanku adalah suatu masakan yang amat istimewa. Tentu sahaja aku tidak ingin rosakkan keistimewaan tersebut dengan wujud sekelumit perbandingan tentang hasil air tangan aku yang sudah tentu sedia ada mengikut citarasa aku yang amat rumit ini.

Dan aku terus gigih dalam usaha mencari Ketam Masak Lemak Cili Padi tersedap!

Penantian aku selama ini mungkin hampir berakhir. Baru-baru ini aku telah terjumpa Ketam Lemak Cili Padi yang sedap. Kesedapan yang mengujakan! Lemaknya kuah selemak rasa, manisnya isi ketam semanis rupa, sedapnya menjilat jari..
Kalau aku wanita pun tentu aku akan kahwini tukang masak masakan itu!

Apapun, terima kasih atas Ketam Lemak Cili Api itu..