Tuesday, September 29, 2009

Aku dan Sesalan yang ditangisi

Aku renung monitor itu dalam-dalam jauh-jauh dengan pandangan layu sepasang mata yang sukar dikerdipkerlipkan seperti menyesali sesuatu.

(Dalam hidup ini, sesalan atas sesuatu yang kita lakukan sebenarnya sama sahaja dengan sesalan atas sesuatu yang tidak kita lakukan.) Kata hikmah Ar Rais no 1

"Eh, bulan September ni baru satu entry aku tulis"

Monologku dalam sepi sambil mengelap hidungku yang agak berminyak dengan agak tidak bersungguh-sungguh.

Lantas aku dengan tenang mengimbau perjalanan hidupku sebulan ini dalam mencari-cari jawapan bagi persoalan yang mungkin bagi sesetengan manusia adalah remeh.

(Dalam hidup ini, kita manusia hendaklah terkadang mengambil berat akan perkara remeh. Kerana yang sedemikian akan menyempurnakan dan menambah warnaperisa hidup kita) Kata hikmah Ar Rais no 2

"Oooo rupanya bermulanya September ini dalam bulan puasa."

Rupanya aku kepenatan di bulan puasa. Kepenatan akibat lapar dan dahaga di siang hari dan kepenatan akibat kekenyangan di malam hari. Jadinya tiada masa aku tidak berpenat-penatan. Dengan penat datangnya kemalasan dan dengan kemalasan datangnya ketiduran.

_____________________________________________________________________________________


Aku renung monitor itu dalam-dalam jauh-jauh dengan pandangan layu sepasang mata yang sukar dikerdipkerlipkan sebagai tanda menyesali sesuatu.

(Dalam hidup ini, sesalan adalah suatu tanda kita tidak akan mengulanginya lagi dan telah mengambil pengajaran daripadanya) Kata hikmah Ar Rais no 3

"Eh, bulan Ramadhan lepas, berapa hari aku pergi terawikh..banyak pergi ke banyak tak pergi"

"Tadarus aku berapa juzuk..ke berapa helai je"

Monologku dalam sepi sambil menggigit hujung kukuku yang suam-suam yang seingat aku baru semalam ku potong rapi.

Lantas aku dengan tenang mengimbau perjalanan hidupku sebulan ini dalam mencari-cari jawapan bagi persoalan yang mungkin bagi sesetengah manusia adalah sunat sahaja.

(Dalam hidup ini, kita manusia hendaklah terkadang mengambil berat akan perkara sunat. Kerana yang sedemikian akan menyempurnakan lagi ibadah wajib kita dan menambah keimanan kita) Kata hikmah Ar Rais no 4

"Oooo rupanya bermulanya Ramadhan ini dalam masa aku amat sibuk."

Rupanya aku amat sibuk bulan Ramadhan itu. Bersibuk-sibukkan akibat merancang cuti raya yang lama.

"Hahaha.."

Aku ketawa sekuat hati sampai terkeluar air mata

Ketawa bukan kerana gembira, juga bukan kerana lelucuan.

Aku ketawa kerana kebodohan aku..Kebodohan mengikut hawa nafsu dan kealpaan dalam cubaan duniawi sehingga aku terlupa merebut kemanisan Ramadhan itu, sehingga aku ini tergolong manusia yang tidak bersyukur.

Aku tarik nafasku panjang-panjang kuat-kuat dan ku lepaskannya lebar-lebar perlahan-lahan.

Ya Allah, aku sungguh menyesal kerana tidak menjemput Ramadhan-Mu dengan penuh kehangatan dan kemeriahan hati..
aku sesungguhnya berjanji pada masa akan datang tidak akan menyebabkan diriku ini menyesali lagi kepemergian Ramadhan-Mu seperti tahun ini
Maka aku mohon kepada-Mu, temukanlah aku dengan Ramadhan-Mu lagi, semoga hidup aku lebih diredhai dan diberkati
Amin.

Monday, September 7, 2009

Aku dan Talaan Hebat Bermutu

Aku sudah terbayang makanan-makanan kegemaran aku yang akan aku perolehi petang nanti. Usah bertanya tentang pembuka hidangan dahulu kerana pembuka puasa sendiri sudah beratur-atur berderet-deret menunggu untuk ditala.

Bermula dari segala macam manisan bermula dari buahan kurma sehingga lah kuih bernama tok aji serban , lompat tikam dan mati bunuh minum racun. Setia menunggu untuk di jamah ditemani dengan bermacam air yang aneh-aneh namanya seperti tuak, sirap dan cendol.
(orang pantai timur memanggil air nira sebagai air tuak dan air tuak dikenali sebagai air kencing syaitan betina)

Bermula dari pembuka selera yang mungkin adalah ketupat sotong yang berharga semahal RM 3.50 seekor walaupun sekecil penala budak tapi tetap rasa berbaloi kerana kesedapannya.

Aku tidak merasakan bahawa ianya akan menjadi satu beban kewangan kepada ku lantaran kemiskinan kerana walaupun kepala jenahak asam pedas baba nyonya itu lebih RM 20.00 ataupun manisan di raja sebagai pencuci mulut itu RM12 semangkuk kecil kerana perolehan aku petang nanti adalah hasil ihsan rakan serumahku yang tidak putus-putus bersyukur sejak sekembalinya pagi tadi dari bermalam di rumah isterinya.

Sekembalinya tadi, dia dalam keadaan yang amat gembira. Tergambar dari raut wajahnya, terlahir dari ungkap katanya. Memang dia amat gembira!

Dan aku terus mengucapkan tahniah pada,

"Tahniah, memang selama ini aku tahu talaan kau hebat dan bermutu!"