Wednesday, July 21, 2010

Orang Belah Sana dan Pantai Bari

Dia Orang Belah Sana,
Yang pantainya banyak ikan belacak membuat buih
yang terkadang buih itu hanyut dek suam-suam kocak anak ombak
yang tidak sabar-sabar mahu memecah pantai
menunggu ihsan bulan air kan pasang
bersama bau hanyir masam kusam

Dia Orang Belah Sana,
Yang ketam kecil sebesar ibu jari bebudak merah menyala
menari-nari bawah akar bakau yang berjerangkung
atas hamparan pasir selut kelabu kehitaman
tiada beza dengan kumbahan

Dia Orang Belah Sana,
Yang aku pimpin ke Pantai Bari,
menghapuskan segala mimpi ngeri
yang ada hanya yang indah-indah sahaja,
menyulam bahagia bersama harapan,
secerah suria yang bakal terbit
di sebelah sini.

Pantai Bari,14/06/2010

Monday, July 12, 2010

Kedamaian dan Harganya

Aku hembus perlahan-lahan panjang-panjang. Asap itu terkena pagar batu terpantul mengenai bunga kuning bunga negeri Terengganu itu yang aku sudah lupa nama panggilannya apatah lagi nama saintifiknya yang ntah apa apa ntah. Masih menitik air dari hujung dedaunnya akibat embun ataupun air jirusan yang dijirus oleh tukang kebun mahkamah dengan menggunakan salur getah warna kuning yang aku perhatikan tidak mudah berselirat walaupun salur getah yang aku beli di kedai belakang pasaraya Ong tai Kim amat mudah berselirat dan berlipat dan tidak mesra pengguna yang menyebabkan aku membeli salur getah berwarna hijau seminggu kemudian di kedai sebelah kedai terdahulu.

Sesekali lagu mendayu-dayu meleleh-leleh jiwang karat dari bonet belakang kereta iswara hijau yang pada tekaan aku milik seorang kerani kaunter pendaftaran yang aku sudah lupa samada hasil karya Eddie Hamid atau Shaari Amri kedengaran dengan jelas seolah-olah mahu mencabar aku menyambungkan rangkai kata rangkap liriknya seolah-olah tahu aku ini susah dan payah menghafal lirik dan kebanyakan lagu yang aku nyanyikan hanya sama dari segi melodinya yang rata-rata liriknya aku reka sendiri.

Jam baru 10.30 pagi. Kerani itu besiul-siul mengikut melodi lagu sambil mengelap keretanya yang sudah terbuka keenam-enam pintu sambil diperhatikan oleh pengawal keselamatan yang termenung panjang mengulum rokok yang tidak dinyalakan sepanjang 15 minit tadi. Nampak gaya macam menunggu tukang kebun menghabiskan kerja-kerja menyiram pokok bunga untuk dia menunggu giliran menggunakan salur getah kuning tersebut untuk dia menyiram bekas-bekas lumpur yang terpalit di tingkap belakang keretanya hasil dari tapak kaki kucing.Tidak tahu dia nak meminjam salur getah itu ataupun tukang kebun itu yang meminjam salur getahnya.

Semuanya semacam bergerak dalam gerakan perlahan. Kenderaan lalu lalang juga boleh dibilang jari. Bunyi burung berkicau amat jelas mendamaikan. Alangkah tenangnya suasana di pekan kecil sebesar pekan Kuala Kubu Bharu ini!

"Ada kes ke?"

Aku menyapa seorang pemuda yang baru lepas memulangkan pemetik api aku yang dipinjamnya setelah aku hulur pemetik api aku apabila aku lihat dia meraba-raba poket seluar dan bajunya berulang-ulang kali sedangkan rokok sudah dibibir.

"Dah.bayar denda." jawab pemuda itu cepat-cepat dengan tersenyum hingga menganggu aturan nafasnya juga menyedari dia belum berterima kasih pada aku

"Salah apa?" tanyaku ringkas tanpa memandangnya.

"Potong double line" jawabnya juga tanpa memandangku

"Potong apa?"tanyaku lagi.

"Tak potong apa. Mengelak tahi lembu atas jalan" jawabnya sambil beredar dengan muka yang kelihatan agak sayu.

Friday, July 2, 2010

Harga ikan melambung di Terengganu & Keropok Gote

Bulan 3 hingga bulan 7 setiap tahun memang dikenali sebagai musim perayaan di Terengganu. Manusia manusia terpilih dari segenap semenanjung Malaysia akan tertumpu ke negeri yang diberkati ini untuk mencari peluang menyertai perayaan mencandat sotong di Terengganu.

Maka pengusaha bot akan tersenyum lebar kerana banyak bot ditempah. Tapi Pak Li Sedut lagi lebar senyumannya.

Hari ini Pak Li Sedut tidak payah ke laut. Cukup sekadar menyewakan bot nelayannya yang dibeli dengan mencagar tanah pusaka nenek moyangnya di hujung muara Kg Bharu Mangkuk yang kini tinggal tiga suku akibat terhakis oleh ombak laut. kepada agen aktiviti mencandat sotong dan berupaya menanggung kehidupan sehari dua sambil mempunyai masa melepak-lepak di kedai kopi menjeling Limah Janda lalu lalang membawakan pesanan pelanggan dalam pada dengar tak dengar jerit lolong Pak Awang Deramang yang berhenti sekejap bermain dam dengan Said Taik meminta api untuk menyalakan rokok daun yang tembakaunya agak lembab akibat jatuh ke dalam tong ikan semalam semasa memunggah ikan di jeti tidak berpelantar pagi sebelum subuh semalam walaupun dia tak pernah sembahyang subuh apatah lagi mandi wajib sebelum sembahyang subuh.

"Assalamualaikum"

Tiada jawapan. Cuma hembusan asap rokok berbau tengik mencucuk-cucuk keluar berganti-ganti dari hidung dan mulut Pak Awang Deramang hingga terpalit ke baju Limah Janda kebetulan lalu untuk menghantar kopi yang tidak dapat dipastikan cap apa kepada pemuda bertali leher belang-belang berambut cacak berkereta buatan amerika yang bernombor plat besi akibat belum didaftarkan di JPJ yang baru sampai 5 minit yang lepas yang sedang membelek-belek hanset Blackberry beliau.
"Huush"..dengus Pak Li Sedut sambil menghembus nafas kuat kuat deras-deras setelah mendapati bau badan Limah Janda yang disedutnya tadi sudah tidak berbau seperti sepanjang 7 jam yang lepas akibat asap rokok Pak Awang Deramang sambil menyatakan kekesalan dalam hati meminjamkan pemetik api kepada Pak Awang Deramang. Matanya melilau mencari tiang untuk kemungkinan dia menggantung papan tanda "Dilarang Merokok" siap dengan amaran penjara dan denda. Biarlah mahal pun Biarlah dia terpaksa menempah papan tanda itu di Bandar Pemaisuri pun. Biarlah walau dia terpaksa menegur sapa untuk meminjam motosikal Leman, anak lelaki bongsunya yang sudah bermasam muka sejak 4 bulan lepas selepas dia menghabiskan semua bekalan air daun ketum anaknya itu. Paling tidak pun naik van sapu Rosip yang berbau hancing anak biri-biri yang dihantar oleh Rosip dari bukit biri-biri Pak Kancil selepas Jabatan Haiwan membuka tender pembekalan kepada orang perseorangan.

"Wah, khusyuk main dam Pak Awang..Pak Li pun ada ke..dah lama ke?

"Tak de lama sangat. Baru sekejap tadi." kata Pak Li berseloroh. Padahal dia yang tolong susunkan kerusi di gerai Limah Janda ni pagi tadi lebih kurang pukul 6.30 pagi semasa Limah Janda masih berbau sabun masa baru nak mulakan perniagaannya. Padahal dia yang menolong Limah Janda membungkus nasi Pak Aji Setopa, imam masjid baru balik dari masjid yang membeli nasi berlauk bungkus untuk anak-anaknya yang bersekolah di SMK Penarik dan SMK Tengku Ibrahim. Yang SMK penarik dia yang hantar dengan motorsikal C70 manakala yang SMK Tengku Ibrahim isterinya yang hantar dengan C180 yang dibeli oleh anaknya yang buat PHD dalam bidang agama di negara orang putih dengan menggunakan duit pencen sebagai guru agama 9 tahun dulu.
____________________________
Dikemaskini pada 5/7/2010


"Dari mana ni Pak Itam Rim. Bersemangat sungguh lagaknya."

Tak "gote" keropok ke arini?"tanya Pak Li lagi kepada Pak Itam Karim, seorang pengusaha keropok.

Pertanyaan yang tidak wujud sebarang komunikasi mata apatah lagi komunikasi badan akibat akal masih berputar berfikir tempat yang sesuai untuk menggantung papan tanda "Dilarang Merokok" yang dia ambil keputusan untuk tulis sendiri dalam tulisan jawi mengunakan kertas kotak tin-tin air setan lambang sauh yang banyak disimpan di bawah rumahnya peninggalan Mat Saleh-Mat Saleh pelancong bukan penjajah yang ramai berhenti di Kg Penarik ini dalam perjalanan ke Merang untuk ke Pulau Redang memikirkan Pak Awang Deraman tidak pernah pandai membaca tulisan rumi.

"Aku baru lepas minum di kedai Mak Teh Esah. Leman ada lagi kat sana"

"Yati ada ke?Leman buat apa kat sana? Tanya Pak Li Sedut buat-buat tidak tahu dengan penuh kesungguhan menyedari anak bongsunya diketahui lepak di Kedai Mak Teh Esah. Dia tidak pasti sebenarnya Yati masih ada lagi dikampung menolong emaknya Mak Teh Esah berniaga ataupun telah kembali menyambung pengajian di UITM Machang. Dia sebenarnya pagi tadi bercampur tidak tahu untuk memutuskan untuk ke Kedai Limah Janda ataupun ke Kedai Mak Teh Esah. Akhirnya dia memutuskan ke kedai Limah Janda walaupun bertentangan dengan prinsip keluarga turun-temurun "Baik anak dara daripada mak janda" kerana selalunya kepalanya akan pening kerana Yati selalu memakai minyak wangi berjenama orang putih yang boleh di dapati dengan banyaknya di Sogo. Lagi pula dia tahu anak bongsunya Leman pasti akan berlumba dengannya untuk memilih kerusi tempat duduk paling strategik. Memanglah bapa borek anak rintik tapi kalau dah jelas ketara sangat nanti orang kampung mengata.

"Leman duk lepakla buang masa. Duk tengok Yati la. Macam kau la jugak la kat sini. Bapa borek anak rintik."balas Pak Itam Rim tanpa berlapik.Nada nya makin tinggi. Macam ada sesuatu yang terbuku di hatinya yang tidak lepas-lepas

Berangin kepala Pak Li Sedut terkena sindiran itu. Walaupun dia berusaha untuk tidak dikata orang, akhirnya terkena juga. Dengan nada yang tinggi juga dia membalas,

"Ok la dari emak borek anak rintik"

Merah padam muka Pak Itam Rim. Memang isterinya dulu mengandung anak luar nikah angkaranya. Memang anak perempuannya Saadah sekarang mengandung anak luar nikah tidak tahu angkara siapa. Tapi sindiran Pak Li Sedut itu memang makan dalam. Memang sebenarnya dia telah menyiapkan persediaan menebalkan muka menembokkan telinga dengan apa jua celaan orang kampung. Tapi sekarang celaan Pak Li memang tidak dapat dia tahan kerana ada perkara lain yang belum selesai dengan Pak Li.

"Celaka kau Li ! Kau tak sayang mulut! Nak kena takir dengan parang aku macam Mail Seludang minggu lepas ke." balas Pak Itam Rim dengan nada tinggi tersekat-sekat akibat nafas tercungap-cungap menahan marah.

Pak Deramang, Said Taik, pemuda berambut cacak, Mak Limah Janda dan Timah Bendul semua memandang ke arah mereka berdua. Menunggu kemungkinan yang bakal tiba.

Said Taik bingkas bangun untuk meleraikan keadaan sambil berkata,

"Dahla tu Pak Li..Pak Rim..Pak Rim pergi balik gote keropok. Pak Li pergi balik. Sudah-sudah. Dah tua-tua pun nak bergaduh"

"Babi!..Macamana aku nak gote keropok. Ikan takde. Yang ade pun mahal nak mampus." kata Pak Itam Rim sambil menolak dada Said Taik yang yang baru keluar dari Pusat Serenti Besut kira-kira 2 bulan lepas.

"Kalau takde ikan nak gote keropok. Balik rumah gote bende lain"balas Pak Li Sedut dengan nada lucah menyakitkan hati.

"Haram..sebab korang nelayan semualah ni..tak pergi menangkap ikan. bot bagi sewa kat orang mencandat sotong. Ikan pun takde. Yang ade pun harga mahal"

Jerit Pak Itam Rim sambil membaling botol berisi sos atas yang disediakan untuk mencicah keropok goreng ataupun ikan dan sotong celup tepung sekuat-kuat hatinya ke arah Pak Li Sedut

Pak Li Sedut hanya mampu tersedut-sedut sendiri berseorangan. Cecair merah mengalir dari atas kepalanya melalui pipinya berkumpul di dagunya dan menitik laju ke pasir putih mulus bercampur semut-semut yang menghurungi kepala ikan sisa-sisa ikan celup tepung. Tidak tahu darah atau sos yang mengalir.Gelap