Friday, October 30, 2009

Aku dan Hikayat Pertandingan Lipat dan Koyak

Semalam itu,
Aku menyertai pertandingan lipat dan koyak
Pertandingan yang mula mula satu pihak melipat kertas,
Kemudian satu pihak yang lain diberi peluang untuk koyakkannya
Dan pihak yang mula-mula diberi peluang untuk melipatnya semula

Semalam itu,
Adalah hari kedua pertandingan itu,
Hari di mana akulah Si Tukang Lipat yang melipat kertas,
Sedangkan pada hari sebelum itu aku adalah Sang Tukang Koyak
Pertandingan yang diadili oleh Sang Pengadil

Semalam itu,
Adalah hari yang ketiga tidurku tidak lena,
makanku tidak enak,
yang ligat cuma berkepul-kepul asap naga
Menggerakkan akal melalikan rasa
supaya kekal berdiri di dunia nyata

Semalam itu,
Adalah pertandingan aku yang sebenar-benar aku
Tidak lagi dipandu oleh sang Raja
Yang selama ini menyediakan aku
Dalam memilih kertas dan teknik lipatan
Apatah lagi teknik koyakan

Semalam itu,
Aku lipat susun elok-elok kemas-kemas kertas itu,
sambil dalam doaku berserah pada Tuhan
sebelum membenarkan Sang Pelawan mencuba nasib
mengoyakkannya sedaya yang mampu.
sambil dalam hatiku percaya pada kebenaran,

Dan semalam itu,
dengan pasrah aku menyusun balik kertas ku
tertanya-tanya akan kesan koyakan
Namun dengan tenang Sang Pengadil berkata
"Usah susun lipat balik,kertas kamu tidak koyak pun"

Aku tersenyum pada Sang Pelawan sambil dalam hati aku berkata

"Nantikan aku di Pertandingan Tikam Lidah minggu depan"

Monday, October 19, 2009

Aku dan Hikayat Lelaki itu

Lelaki ini hanya ada satu beg kecil. Hanya muat satu barang
Dulu dia ke hulu ke hilir memuatkannya dengan cintanya
untuk berhadapan dengan dunia
dunia yang miskin cinta
lantas di herdik tiada wawasan dan halatuju
Dan akhirnya dia rasa dia gagal

Kemudian dia tinggalkan cintanya di rumah
Digantikannya dengan nafsunya
Dengan nafsunya dia berhadapan dengan dunia
Dunia yang juga penuh dengan nafsu

Namun dia juga gagal
Kerana akhirnya dia sedar
nafsunya tidak sebesar nafsu mereka

Dan dia pulang ke rumah
dengan muka yang tidak bermuram langsung
Bahkan dengan muka berseri-seri
Untuk membawa kembali cintanya
Kerana dia tahu cintanya adalah cinta yang besar
Semoga dia berjaya!

Monday, October 12, 2009

Aku dan Rasa itu

Senyuman yang aku kira terukir padu, mengembang dan mengecutkan otot-otot pipi aku tadinya sekarang sudah tiada.

Jiwaku yang tadinya amat terhibur dengan gelagat mereka itu tiba-tiba mengeluarkan perasaan yang amat sebu. Amat meruntun rasa.

Ini sudah ke berapa kali aku mengulangdengar pun aku sudah lupa.

Semoga aku tidak lupa solat asar.

_____________________________________________________________________________

Ini adalah paparan masuk tambahan. Ditulis pada Selasa 13/10/2009 jam 12.40 tengahari untuk menjelaskan punca perasaan sedikit tersentuh semalamnya seperti yang terpapar di paparan masuk di atas

KRONOLOGI RASA

1) Kali pertama aku melihatdengar, aku tergelak sambil tergolek..sambil menepuk-nepuk kepala dengan mengulang kata "Bodohnya, macam ni pun ada ke"

2) Kali kedua hingga ke ke empat kalinya aku masih rasa seperti rasa di atas cuma sudah tidak menepuk kepala akibat kepala sudah sedikit terasa sakit

3) Kali kelima, aku sudah berkeadaan seperti di keadaan paparan masuk asal ini. Aku sudah membisu. Menyingkap setiap maksud tersirat katanya. Mendalami setiap intonasinya yang syahdu dan lesu. Membayangkan aku di keadaannya...

Jiwaku jadi sebu. Sebu sesebu-sebunya.