Tuesday, June 30, 2009

Aku dan silam yang tidak ditangisi

Ahad yang baru ini, guruh berdentum-dentuman kilat sabung menyabung seakan Sang Langit melepaskan dendam terpendam berkurun lamanya. Dan aku ditakdirkan bertemu tanpa sengaja dalam satu pertemuan tanpa dirancang dengan seseorang dari kisah silam..

Bagaimana beratnya suara aku untuk menanyakan khabarnya..begitu juga kelu lidahnya untuk menjawab..Berselang beberapa lontaran perbualan, aku lihat matanya berkaca..lalu ditundukkan mukanya..dan air mata itu terus meleleh jatuh ke lantai tanpa membasahi pipi..

"Mengapa awak menangis?"
Dia diam dalam sedu sedan..

"Mengapa awak yang menangis sedangkan awak yang berkahwin..
Saya yang awak berkahwin pun tidak menangis"(.)Noktah

Monday, June 29, 2009

Aku dan ketaksuban

Semalam, sedang aku berkira-kira untuk tidur awal, aku telah ditakdirkan utuk tertarik pada satu rancangan dokumentari di saluran Discovery Channel yang bertajuk The Life and Death of Peoples Temple mengenai pembunuhan dan/atau pembunuhan diri beramai-beramai oleh pengikut People's Temple yang diketuai oleh Jim Jones pada tahun 1978. http://en.wikipedia.org/wiki/Jim_Jones

Aku terfikir, apakah yang menyebabkan golongan manusia ini termasuk aku dan kalian boleh terjebak dalam satu situasi ketaksuban dan kefanatikan pada seseorang.Tidak kiralah sama ada orang itu pemimpin politik atau seorang pemimpin agama ataupun artis lakonan mahupun nyanyian..

Dan semalam aku telah dapat melihat secara jelas kesan nyata akibat daripada ketaksuban itu..

Betapa mereka yang kerasukan ketaksuban ini sudah buta matahatinya dan tuli telingajiwanya, tidak dapat melihat dan mendengar apatah lagi untuk menilai dan membezakan antara kebenaran dan kepalsuan;
betapa ketaksuban yang bermaharajalela di dalam akal telah membunuh segala kewarasan yang ada;
betapa ketaksuban yang mencerobohi hati telah menghambat perirasa yang tersisa

Mengapa sedemikian?

KEJAHILANkah?

http://en.wikipedia.org/wiki/Jonestown:_The_Life_and_Death_of_Peoples_Temple



..

Aku dan kemalasanku

Aku dan kemalasan ini terus berkait-kaitan bertaut-tautan sedang di layar mindaku diterobosi tanpa henti bait-bait ucapkata hikmah untuk aku berbicara secara israr ini.

Mahu saja aku berpuas hati dengan bicara israr ini untuk sekadar berputar-putar di mindaku seperti yang sudah-sudah..

Namun, aku juga akan rasa sesal kerana pada akhirnya, bicara israr itu, yang bernas-bernas itu akan aku lupakan, sedang belum sempat aku bermuhasabah dengannya.

Untuk tidak terus-terusan menjadi hamba kemalasan itu, aku dengan susah payah, mencapai komputer riba yang tidak pernah sesekali aku riba itu. Dan kuaturkan jari jemariku yang seakan kakubeku ini, ku kuatkan semangat teguhkan keinginan untuk menitipkan sesuatu sebagai tanda sumpahan kemalasan ini telah menyisih pergi tidak bertapak.

Allahumma inni a’uzubika minal a’jzi wal kasal
Ya Allah aku berlindung dengan Mu dari sifat lemah dan malas.

Benar bagai dikata, bila malas sudah menjajah hati, hati akan turut meracuni seluruh anggota untuk bersekongkol dengannya sama seperti yang sedang aku alami waktu ini.

“Wahai anggota tubuh badanku, aku maafkan kalian untuk sekali ini Nasihatku agar kalian tidak akan sesekali bersekongkol bermalas-malasan dalam perkara berkaitan ketaatan kepada Yang Terutama Yang Maha Esa, kelak nanti kalian akan dibakar berhimpit-himpitan tiada henti-henti di dalam kepanasan api yang amat dashyat, seperti yang telah dijanjikan.”

(Akhirnya aku telah siapkan entry ini)

Thursday, June 25, 2009

Aku dan Pembukaanku

Assalamualaikum..
Aku membuka laman aku ini dengan Ummul Quran...
Al-Fatihah..(yg ni kalian kena baca sendiri)..
Amin..
Walaupun ni post pertama aku,aku dah terasa kemalasannya..
Kemalasan inilah yang menyebabkan aku menangguhkan posting pertama ini walaupun blog ini sudah "didaftaraikan"lama dahulu..
Kemalasan ini jugalah yang akan nanti aku kira akan menghabuksawangkan blog aku ini hahaha..
Makin terngiang-ngiang di telinga motto sekolah aku dulu "Fastakim Kama Umirta"yang menggesa ummat beristiqamah dalam mengerjakan sesuatu yang baik..makin menebal lapisan-lapisan kemalasan menyelimuti diri hingga mendarahdagingtulang...
Mampukan aku di selamatkan oleh perubatan canggih moden kini dan/atau rawatan rukiyyah Islam..
Sama-sama kita nantikan..